Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kerajaan akan mula menggenakan larangan terhadap warga asing daripada membeli minyak masak bersubsidi bermula 1 Mac ini sebagai langkah menutup ruang ketirisan subsidi yang sekian lama membebankan kewangan negara. Pendekatan ini dibuat bagi memastikan bantuan harga keperluan asas itu benar-benar sampai kepada rakyat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, berkata larangan tersebut memberi kejelasan dari segi penguatkuasaan selepas sebelum ini timbul kekeliruan di peringkat peruncit tentang siapa yang layak membeli minyak masak paket bersubsidi.
Subsidi tidak lagi terbuka kepada bukan warganegara
Menurut beliau, tanpa larangan khusus, kawalan di peringkat jualan sukar dilaksanakan dan membuka ruang penyalahgunaan. Justeru, langkah ini membolehkan subsidi disasarkan secara lebih tepat kepada warganegara, selari dengan tujuan asal bantuan tersebut.
Larangan itu dilaksanakan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada dan kini sedang diperhalusi bersama Jabatan Peguam Negara bagi memastikan pelaksanaannya jelas, praktikal dan tidak membebankan peniaga runcit.
Baca juga:
- Anak didakwa bunuh ibu, berdepan hukuman mati
- Rumah Ibadat: Patuhi undang-undang, jangan politikkan isu agama – YDPA
- Sabun tular berasaskan khinzir tidak dipersijilkan halal JAKIM
eCOSS jadi benteng kawalan pembelian
Dalam masa sama, kerajaan bergantung kepada sistem eCOSS bagi memantau pembelian minyak masak bersubsidi. Melalui sistem ini, had pembelian ditetapkan berdasarkan bilangan ahli isi rumah, sekali gus membolehkan corak pembelian direkod dan dianalisis.
Armizan menjelaskan, sistem berkenaan bukan bertujuan menyukarkan rakyat, sebaliknya bagi mengelakkan pembelian berlebihan yang akhirnya diseleweng untuk keuntungan pihak tertentu.
Selang harga punca penyelewengan
Beliau turut mengakui bahawa perbezaan harga antara minyak masak bersubsidi dan minyak masak terpakai menjadi tarikan utama kepada aktiviti penyelewengan. Situasi ini membolehkan pihak tertentu meraih keuntungan mudah dengan mencampur dan menjual semula minyak bersubsidi.
Sehubungan itu, penguatkuasaan semata-mata tidak mencukupi tanpa sokongan sistem yang mampu menjejak rekod pembelian secara menyeluruh.
Setakat ini, lebih 20 juta paket minyak masak bersubsidi direkodkan terjual kepada warganegara melalui eCOSS sejak diperkenalkan. Data tersebut, menurut Armizan, penting untuk menilai hala tuju program subsidi agar ia kekal mampan dan tidak disalah guna.
Beliau menegaskan, pendekatan berasaskan data dan sasaran yang jelas adalah kunci untuk memastikan subsidi minyak masak terus dapat dinikmati rakyat yang benar-benar memerlukan.
Sumber: Berita Harian








