Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun, Muhammad Harith Mohd. Fazrul, yang maut dipercayai akibat renjatan elektrik di sebuah sekolah di Serdang sempat mengimamkan solat Asar bersama rakan-rakan.
Bapanya, Mohd. Fazrul Mohd. Nasir berkata, anaknya sentiasa menjadi imam solat Jemaah dan pada hari kejadian, dia sempat menjadi imam solat Asar kira-kira 30 minit sebelum berlaku insiden yang meragut nyawanya.
“Saya selalu pesan kalau saya meninggal dunia nanti, saya nak dia imamkan solat jenazah saya tapi dia yang pergi dahulu,” katanya.
Fazrul berkata, kali terakhir beliau berjumpa dengan Muhammad Harith ketika menghantarnya ke sekolah pada pagi hari kejadian.
“Semalam kami sampai di sekolah kira-kira pukul 7.50 pagi, selalunya sebaik sahaja turun kereta Harith akan melambai dan cakap ‘bye’ tetapi semalam dia seperti terlupa dan terus berjalan.
“Namun, kemudian dia berhenti dan menoleh kembali sebelum melambai sambil tersenyum. Itulah kali terakhir saya lihat Harith senyum dekat saya,” katanya.
Katanya lagi, hari ini merupakan keputusan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA), namun mereka belum memeriksanya lagi kerana mengenangkan janji kepada Allahyarham untuk membelikan permainan video jika dia mendapat keputusan yang baik.
Terdahulu, seorang murid lelaki Tahun Enam maut dipercayai akibat renjatan elektrik di sebuah sekolah di Serdang pada Rabu.
Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
Sumber: Harian Metro








