Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Terpalit dengan kontroversi yang hangat sedang diperkatakan, pelakon Muaz Zabir mendakwa telah menerima beberapa ancaman melalui mesej dalam media sosial miliknya.
Ancaman tersebut antaranya melarang Muaz menjejakkan kaki ke Singapura.
Namun begitu, Muaz enggan melayan ancaman berkenaan dan memilih untuk melihat dari sudut positif.
“Ancaman diterima sentiasa ada. Antaranya saya terima mesej meminta tidak datang ke Singapura.
“Perkara itu memang ada, tapi saya lihat daripada sudut positif. Kalau saya datang untuk bekerja, tak ganggu sesiapa dan niat betul, insya-Allah, tiada apa-apa akan berlaku.
“Kita ada undang-undang dan perlembagaan. Kalau pergi ke sana untuk bekerja apa salahnya, saya bukan hendak cari gaduh.
“Saya tidak ingin membabitkan dua negara, tapi cuba untuk meneruskan kehidupan dengan cara terbaik,” katanya.
Tidak tertekan sebaliknya beri kesan pada diri dan keluarga
Katanya, cemuhan yang dilemparkan tidak membuatkannya berasa tertekan. Bagaimanapun dia mengakui sedikit sebanyak memberi kesan kepadanya dan keluarga.
“Cemuhan masih ada, tapi saya tidaklah sampai tertekan atau ada keresahan keterlaluan. Takut itu ada, tapi Alhamdulillah boleh diuruskan.
“Saya tidaklah trauma, tapi ia memberi kesan juga dalam kehidupan saya. Setakat ini, saya tidak sampai tahap membuat laporan polis atau mengupah pengawal peribadi
“Saya akan cuba berhati-hati di mana pun saya berada supaya boleh berwaspada. Sekarang banyak kes jenayah yang berlaku, jadi sekarang saya cuba jaga diri sendiri.
“Isu ini memberi impak besar dalam kehidupan saya dan keluarga. Apa pun tindakan selepas ini, saya akan lebih berhati-hati dan tidak menyinggung mana-mana pihak,” katanya.
Terdahulu, Muaz Zabir berdepan dengan kontroversi apabila dikaitkan menjalin hubungan dengan isteri kepada Aliff Aziz, Bella Astillah.
Sumber: Berita Harian








