Sebanyak 31 kes disyaki Mpox atau cacar monyet telah dikesan di Malaysia setakat ini. Daripada jumlah tersebut, 25 kes telah disahkan negatif manakala enam kes masih dalam pemantauan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menyatakan bahawa kes Mpox di Malaysia kekal sembilan kes, dengan kes pertama dilaporkan pada 26 Julai 2023 dan kes terakhir pada November tahun yang sama.
Dr Dzulkefly juga menegaskan, tiada kes Mpox dilaporkan dari Disember 2023 hingga kini. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil langkah segera untuk memperkukuh saringan di pintu masuk negara dan mengaktifkan 10 makmal untuk ujian PCR, termasuk dua makmal swasta, bagi mengesahkan kes Mpox.
Langkah ini diambil susulan peningkatan kes di negara jiran seperti Singapura (18 kes), Indonesia (7 kes) dan Thailand (5 kes), serta pengunjung dari negara lain, terutamanya dari benua Afrika.
Beliau juga menyatakan, KKM telah menghantar lebih banyak pekeliling kepada kemudahan kesihatan awam dan swasta untuk meningkatkan kesiapsiagaan dan tindak balas terhadap kes Mpox.
Sumber: Bernama via Harian Metro








