Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) membatalkan lesen syarikat Al Quds Umrah & Tours (M) Sdn Bhd berkuat kuasa 24 Januari lepas.
Dalam satu kenyataan, Pesuruhjaya Pelancongan MOTAC, Datuk Roslan Abdul Rahman berkata tindakan tersebut selaras dengan Seksyen 8 Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).
“Adalah dimaklumkan selaras dengan Seksyen 8 Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482). Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya telah memutuskan untuk membatalkan lessen syarikat Al-Quds Umrah & Tours (M) Sdn Bhd.
“Kementerian ini memandang serius sebarang pelanggaran peruntukan undang-undang oleh pengusahaan pelancongan berlesen demi menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat Malaysia MADANI,” katanya.
Memetik dari Sinar Harian, sebelum ini, MOTAC menggantung lesen syarikat berkenaan bermula 9 Julai 2024 hingga 19 Jan 2025.
Difahamkan juga, syarikat berkenaan terpalit dengan isu kes penipuan umrah dan kebanyakan mangsa setakat ini masih menunggu untuk mendapatkan pampasan mereka.








