Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang peniaga yang merupakan seorang anggota GISB Holdings Sdn Bhd mengaku tidak bersalah atas tuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan terhadap seorang wanita.
Mohamad Riza Makar didakwa menyatakan kepada wanita berkenaan ‘kami tahu dekat mana rumah suami dan keluarga’dengan niat hendak menyebabkan kegentaran supaya bekas ahli GISBH itu untuk menarik balik laporan polis.
Perbuatan itu dilakukan di tempat letak kenderaan Galeria, Presint 4 di sini, kira-kira jam 10 malam, pada 9 September lalu.
Semasa prosiding di Mahkamah Majistret Putrajaya itu, dia memohon ikat jamin sebanyak RM30,000 ke atasnya dikurangkan kerana menanggung tiga isteri serta sepuluh anak selain memberikan alasan salah seorang isterinya baharu sahaja melahirkan anak sebulan lalu.
Menerusi laporan Sinar Harian juga, lelaki berkenaan turut memaklumkan terbeban disebabkan cuti sekolah kerana perlu menyediakan dana untuk aktiviti dan persiapan pembukaan sekolah anak-anak.
Peguambela bagaimanapun memohon supaya ikat jamin dikurangkan susulan ugutan berkenaan disifatkan sebagai ringan, bukan ugutan bunuh atau mencederakan selain menyatakan pendapatan tertuduh sebanyak RM4,000 hanya sebagai peniaga serta mempunyai tanggungan yang ramai.
Susulan itu, mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin. Tertuduh juga tidak boleh mendekati pengadu dan perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan sehingga sebutan kes pada 18 Oktober.








