Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan kerajaan tidak wajar dipaksa mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kerana sistem itu tidak digubal bagi memupuk identiti dan keunikan pendidikan kebangsaan.
Menurutnya, pengiktirafan hanya boleh diberikan sekiranya UEC digubal selaras aspirasi nasional dan dilaksanakan dalam bahasa kebangsaan.
“Selagi ia tidak menepati ciri tersebut, maka ia tidak boleh disetarakan dengan kelayakan nasional,” katanya.
Mohamad berkata, sistem pendidikan negara mesti dibina berasaskan misi, nilai dan cita-cita nasional, selain berperanan memperkukuh perpaduan melalui penggunaan bahasa ibunda serta kurikulum berteraskan kearifan tempatan.
Baca juga:
- Bekas wartawan FMT Rex Tan ditahan susulan soalan kontroversi
- Kerajaan tarik balik bantuan STR & SARA selepas lelaki ini kantoi miliki enam hartanah
- ‘Tolong beritahu Presiden kamu, kami hanya ada minyak masak’ – Komen lucu rakyat Malaysia
Tiada halangan pelaksanaan, tapi pengiktirafan perlu syarat
Beliau menjelaskan kerajaan tidak pernah menghalang pelaksanaan UEC yang sudah dijalankan oleh Dong Zong sejak tahun 1975. Namun tegasnya, isu sebenar bukanlah pelaksanaan, tetapi pengiktirafan.
“Kerajaan tidak ada masalah mengiktiraf jika ia dilaksanakan dalam bahasa kebangsaan dan digubal menepati aspirasi nasional,” ujarnya, sambil menambah bahawa selagi UEC tidak direformasi agar diharmonikan dengan aspirasi nasional, ia kekal tidak setara dengan sistem pendidikan kebangsaan.
Pendidikan bukan bahan politik
Tok Mat turut mengingatkan semua pihak agar tidak mempolitikkan pendidikan kerana ia merupakan wadah untuk membina semangat muhibah antara pelajar pelbagai kaum.
“Jika ada rakyat Malaysia yang tidak meyakini misi pendidikan nasional, mereka mempunyai pilihan untuk belajar dalam sistem UEC. Itu tiada siapa akan menghalang.
“Tetapi janganlah kerajaan dipaksa untuk mengiktiraf dan menyamaratakan kelayakan tersebut kerana ia tidak digubal untuk memupuk identiti dan keunikan sistem pendidikan nasional,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa bagi tujuan kemasukan ke universiti, sijil UEC telah diterima oleh beberapa institusi dalam dan luar negara, namun dari segi dasar nasional, pengiktirafan rasmi masih tertakluk kepada keharmonian dengan aspirasi kebangsaan.
Sumber: FB Mohamad Hasan








