Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang model dari Rusia tampil membuat laporan polis selepas mendakwa dirinya dirakam secara diam-diam oleh seorang lelaki ketika sedang menikmati makan malam di sebuah restoran di Malaysia.
Wanita itu, menerusi kenyataan di laman media sosialnya, memaklumkan dia membuat laporan bukan kerana marah, tetapi kerana percaya bahawa berdiam diri hanya akan melindungi individu yang melakukan kesalahan.
“Semua orang menyuruh saya pergi ke polis, dan saya buat begitu. Saya lakukannya bukan kerana marah, tetapi kerana berdiam diri hanya melindungi mereka yang menyakiti orang lain. Tiada wanita sepatutnya berasa takut untuk mempertahankan diri,” katanya.

Model tersebut turut meluahkan rasa terharu terhadap sokongan yang diterimanya daripada rakyat Malaysia yang dianggapnya sangat baik dan menghormati.
“Pengalaman ini memang mengecewakan, tetapi kata-kata kalian mengingatkan saya bahawa tindakan seorang individu tidak mewakili seluruh tempat.
“Malaysia ialah sebuah negara yang indah dengan rakyat yang mesra dan penuh hormat. Saya rasa sangat disayangi di sini,” ujarnya.

Baca juga:
- Model Rusia buat laporan polis, dirakam TikToker buat live berunsur lucah
- ‘Inspektor Sheila’ disiasat dakwa pertikai tindakan polis tahan warga Pakistan tiada lesen
- Kelantan dominasi sektor awam negara
Dia turut menegaskan insiden yang berlaku merupakan satu bentuk gangguan tidak bermoral apabila mendakwa seorang lelaki telah membuat siaran langsung (live stream) sambil mengeluarkan jenaka berunsur lucah mengenai tubuh badannya.
“Bayangkan sedang makan malam dengan tenang, kemudian mengetahui ada lelaki yang menyiarkan video secara langsung sambil membuat lawak jijik tentang tubuh anda. Itu yang berlaku kepada saya di Malaysia.
“Ya, saya seorang model. Saya boleh berposing tanpa pakaian, saya boleh meluahkan seni melalui tubuh saya, dan saya boleh keluar tanpa memakai bra kerana ia selesa untuk saya. Tetapi itu tidak pernah memberi sesiapa hak untuk merakam saya tanpa izin atau mengeluarkan komen lucah,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman sesi siaran langsung di TikTok seorang lelaki mengundang kritikan ramai apabila mengeluarkan kata-kata berunsur lucah kepada seorang Wanita Rusia ketika berada di sebuah restoran. Susulan tular isu berkenaan, lelaki tersebut tampil membuat permohonan maaf.











