Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Adik ipar kepada pempengaruh dan usahawan, Syed Muhammad Syah Hasif Syed Othman atau lebih dikenali sebagai Prince Syed, tampil meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan abang iparnya yang didakwa menyebabkan ibu bapa mereka ditahan polis.
Menurut Muhd Ikhwan Alif Ishak, 22, kejadian itu terlalu melampau sehingga membuatkan ibunya menangis selepas terpaksa bermalam di lokap bersama bapanya, Ishak Saif, 59, dan abangnya, Muhd Syahmi Faiz, 31.
“Apa yang dia (abang ipar) buat sangat melampau sampai emak menangis. Patutnya cukup buat laporan terhadap saya dengan abang saja tapi tergamak dia buat sampai letak emak dengan abah dalam lokap,” katanya.
Memetik laporan Harian Metro, Ikhwan merupakan salah seorang daripada empat individu yang ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes perselisihan faham dengan Prince Syed, 33. Mereka bagaimanapun dibebaskan dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan kira-kira jam 7 malam semalam.
Sedih ibu tak dibenarkan melawat kakak
Mengulas lanjut, Ikhwan berkata pertengkaran yang tular di media sosial berpunca daripada rasa kecewa apabila ibunya tidak dibenarkan melawat kakak mereka, Fatin Syazwani Ishak, 27, yang sedang dirawat di sebuah hospital di Selangor.
“Kenapa buat begitu, kalau tak bagi kami semua (melawat), bagi emak pun okay. Sekarang pun emak berat nak balik kampung sebab belum jumpa kakak,” katanya.
Ikhwan mendakwa ibunya sudah sebulan tidak berhubung dengan Fatin dan berasa terkilan apabila Prince Syed seolah-olah menyembunyikan keadaan sebenar kakaknya yang menjalani pembedahan.
“Kalau beritahu lebih awal sekalipun mengenai pembedahan itu, kami tak marah dan halang pun. Cuma kenapa nak sorok? Sampai sakit pun nak sorok,” katanya.
Hubungan baik sebelum ini
Anak ketiga daripada lima beradik itu turut mendedahkan bahawa hubungannya dengan Prince Syed sebelum ini sangat baik dan akrab, malah dia pernah menyanjung abang iparnya itu.
“Sebelum ini saya sangat sayang dan sanjung dia… bukan semua tentang dia buruk kerana ada juga kebaikannya. Cuma apa yang dia buat terhadap kakak buat saya sudah lama simpan geram terhadapnya,” katanya lagi.
Harap dapat berbaik semula
Ikhwan berkata, dia dan keluarganya akan pulang ke kampung selepas dibebaskan, namun berharap agar hubungan keluarga dapat dipulihkan.
“Kami berempat duduk dalam lokap yang sama dan kali pertama saya rasai pengalaman itu. Saya harap abang Syed bagi peluang emak berjumpa kakak, itu saja. Harap dia ubah perangai, nak dia jadi macam dulu kerana kami sangat sayangkan dia,” katanya.
Ikhwan turut menzahirkan harapan agar kakaknya menyedari pengorbanan keluarga mereka.
“Untuk kakak pula, saya nak dia sedar yang kami sudah berkorban untuknya sampai emak dan abah masuk lokap. Takkan dia tak nampak lagi?” katanya.
Menerusi sesi siaran langsung di TikTok malam tadi, Ikhwan turut mendedahkan beberapa perkara yang telah disimpan sejak sekian lama, termasuk dakwaan pemakaian emas palsu.
Sumber: Harian Metro, TikTok








