Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Insiden kemalangan yang melibatkan seorang murid lapan tahun di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Presint 11 (1) mendapat perhatian Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Dalam hantaran di Facebook, wakil Perdana Menteri telah memberikan sumbangan kepada keluarga mangsa.
Menerusi ruangan komen di hantaran berkenaan, seorang lelaki yang juga mendakwa sebagai saksi kejadian telah memuji kecekapan petugas kesihatan semasa mengendalikan mangsa.
“Aku nak rekodkan sebagai saksi di tempat kejadian petang hari Khamis 20 Feb 2025 jam 4.40 petang. Team ambulans Hospital Putrajaya respon dengan sangat cepat,” tulisnya.
Katanya, petugas kesihatan ketika itu baru sahaja mengendalikan satu kes kecemasan pesakit lain dan segera mengendalikan kes yang menimpa murid berkenaan tanpa meminta rehat atau minum terlebih dahulu.
“Masa datang mereka nampak berpeluh. Rupanya diorang baru lepas tekan dada (CPR) pesakit lain tadi. Tapi mereka tak minta nak rehat minum teh dulu. Terus datang, attend budak Hanafi ini dan dalam masa dua minit sahaja, dpt IV access, masuk air dan ubat. Cervical collar, pelvic support selesai, BP dpt diperiksa, oksigen high flow telah diberikan. Dua minit, tuan tuan dan puan puan,” kongsinya.
Baginya, staf kesihatan wajar diberikan insentif lebih kerana tugasan mereka yang melibatkan nyawa orang ramai.
“Inilah tahap kecekapan staf KKM dan kini si adik Hanafi ini telah selesai pembedahan dan semakin stabil. Bagi aku staf KKM wajar diberikan insentif lebih kerana tugas mereka melibatkan nyawa, samada sempat diselamatkan , atau melayang.
“Dan mereka tekun dan penuh dedikasi sejak zaman pandemik lagi. Walaupun kini dipaksa kerja lebih jam tanpa elaun, mereka terus memberikan khidmat. Syabas staf KKM dan warga ED Hosp Putrajaya,” katanya.
Terdahulu, murid berusia lapan tahun dilaporkan mengalami retak di belakang kepala, luka di tubuh badan dan kecederaan lain akibat dilanggar sebuah kereta di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Presint 11 (1).
Kejadian berkenaan berlaku pada 4.45 petang minggu lalu, ketika kanak-kanak lelaki itu berjalan dari laluan pejalan kaki di sebelah Blok C Apartmen Zon 6B, melintasi Jalan P11J/1 di hadapan sekolah.
Insiden berkenaan juga mendapat perhatian dari Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Dr Radzi Jidin.








