Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Kegiatan jurugambar amatur di sekitar Menara Berkembar Petronas (KLCC) semakin menjadi-jadi walaupun sudah banyak kali dilaporkan di media sosial. Keluhan pengunjung dan pelancong yang merasa terganggu tidak menghalang kumpulan ini terus menawarkan perkhidmatan mereka, seolah-olah kebal daripada tindakan undang-undang.
Laporan khas daripada wartawan Harian Metro, Nurul Hidayah Bahaudin, mendedahkan bagaimana kumpulan ini bergerak di kawasan sekitar KLCC.
- Aktiviti ambil gambar dikuasai individu tempatan
- Jurugambar amatur ‘cari makan’ depan KLCC
- Menteri ingatkan pengunjung Menara KLCC jangan guna khidmat jurugambar amatur
Berdasarkan tinjauan beliau, jurugambar amatur ini sering berkumpul di kawasan stesen bas serta laluan keluar bawah tanah dari Suria KLCC. Mereka menawarkan perkhidmatan mengambil gambar dengan harga serendah RM5 sekeping atau RM10 untuk tiga keping gambar, menggunakan kamera telefon bimbit.
Kumpulan jurugambar ini ada yang dilihat memasuki kawasan jalan raya demi mendapatkan sudut tertentu untuk mengambil gambar, tindakan yang bukan sahaja mengganggu pengunjung tetapi juga boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya.
Seorang pelancong dari China, Xi, meluahkan rasa tidak selesa apabila kerap diganggu oleh jurugambar ini.
“Sebaik saja turun dari bas, mereka sudah mengekori kami dan terus bertanya sama ada kami mahu menggunakan khidmat mereka,” katanya.
Jurugambar warga tempatan dari Sabah
Sementara itu, jurugambar amatur yang ditemui oleh wartawan Harian Metro mendakwa, mereka hanya mencari rezeki dan tidak pernah memaksa pengunjung untuk menggunakan perkhidmatan mereka.
Mereka juga menafikan bahawa kumpulan mereka melibatkan warga asing seperti yang sering disangka, sebaliknya kebanyakan mereka adalah rakyat tempatan dari Sabah.
Orang ramai perlu mainkan peranan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa, menegaskan pentingnya kerjasama orang awam untuk menyelesaikan masalah ini. Beliau menyeru agar pengunjung tidak menyokong kumpulan ini dengan menggunakan perkhidmatan mereka.
“Sekiranya tiada ‘willing buyer’ (pembeli yang sudi), maka tidak akan ada ‘willing seller’ (penjual yang sudi). Jika anda nampak perkhidmatan ini mengganggu, segera laporkan kepada balai polis berhampiran,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
“Orang awam perlu memainkan peranan aktif. Jika semua pihak bekerjasama, Insya-Allah isu ini dapat diselesaikan,” katanya.
Sumber: Harian Metro (Nurul Hidayah Bahaudin)