'Menaruh harapan kepada usaha damai antara Palestin & Israel' - Tun M perjelas benarkan kapal ZIM berlabuh pada 2002  - The Reporter

‘Menaruh harapan kepada usaha damai antara Palestin & Israel’ – Tun M perjelas benarkan kapal ZIM berlabuh pada 2002 

Baru-baru ini kerajaan Malaysia dalam satu kenyataan memutuskan untuk menyekat dan tidak membenarkan syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia.

Keputusan itu juga telah membuatkan negara luar memuji pendirian Malaysia.

Dalam kenyataan itu juga Perdana Menteri menyatakan kabinet pada 2002 mula membenarkan kapal milik syarikat itu berlabuh di Malaysia. Pada 2005, Kabinet ketika itu memberi kebenaran kepada kapal tersebut untuk mendarat di Malaysia.

Bagaimanapun, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu hantaran berkata, kerajaan pada 2002 membenarkan syarikat perkapalan Israel, ZIM (ZIM Integrated Shipping Services Ltd.) berlabuh kerana Malaysia ketika itu masih menaruh harapan kepada usaha damai antara Palestin dan Israel.

Dalam pada itu beliau menyatakan kerajaan ketika itu juga pernah membenarkan pasukan kriket Israel dengan harapan rakyatnya dapat melihat bahawa penduduk Malaysia yang majoriti beragama Islam boleh hidup bersama rakyat beragama lain.

“Malangnya segala usaha itu jelas sia-sia kerana Israel selepas itu terus memperlihat sifat kebinatangannya dan terus membunuh rakyat Palestin.

“Laluan kepada ZIM juga sekadar kebenaran kepada perjalanan sesebuah kapal tanpa memperlihat sebarang sokongan kepada rejim Israel dan tindakannya membunuh rakyat Palestin.

“Ini berbeza dengan menjadi ahli dan penyokong pertubuhan pro-Zionist yang jelas mendokong cita-cita Israel melakukan penghapusan etnik orang Palestin menerusi genocide dan pembunuhan besar-besaran,” katanya.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata, beliau menyokong sekatan dikenakan itu kerana tindakan melampau dan tiada perikemanusiaan Israel terhadap penduduk Palestin perlu dikeji.

“Apa-apa tindakan protes yang boleh dilakukan harus diambil,” katanya.

Sumber: Dr. Mahathir Mohamad

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Content is protected !!