Atlet gimnastik Filipina, Carlos Yulo, mencipta sejarah dengan memenangi dua pingat emas di Olimpik Paris 2024.
Yulo yang berusia 24 tahun, berjaya meraih emas dalam acara lantai lelaki dan lompat kuda lelaki, menjadikannya atlet Filipina pertama yang memenangi dua pingat emas dalam satu Olimpik.
Sebagai pengiktirafan atas pencapaiannya, Yulo akan menerima ganjaran wang tunai sebanyak 10 juta peso (kira-kira RM771K) yang dijanjikan kepada pemenang pingat emas Olimpik Filipina. Selain itu, Dewan Perwakilan telah mengumumkan tambahan 6 juta peso (kira-kira RM463K) sebagai insentif tunai.
Yulo juga akan menerima sebuah rumah kondominium yang lengkap dengan perabot, bekalan makanan tanpa had, serta konsultasi dan kolonoskopi percuma seumur hidup.
Presiden Ferdinand Marcos Jr. turut menyatakan rasa bangganya melalui Facebook.
“Tiada kata yang dapat menggambarkan betapa bangganya kami terhadap awak, Caloy. Awak telah mencapai Emas untuk Filipina bukan sekali, tetapi dua kali! Rakyat Filipina di seluruh dunia bersatu, bersorak dan menyokong awak.”
Kejayaan Yulo ini bukan sahaja mengharumkan nama negara, tetapi juga menjadi inspirasi kepada generasi muda Filipina untuk terus berusaha mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa.
Sumber: Mothership