Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pengarah urusan kedai karpet di Nilai 3, J Rajesh, menafikan tuduhan bahawa kebakaran yang memusnahkan gudang dan premis perniagaannya pada Jumaat lalu adalah disengajakan untuk mendapatkan pampasan insurans.
Kebakaran yang berlaku menjelang Ramadan dan Aidilfitri itu mengakibatkan kerugian dianggarkan hampir RM30 juta. Jelas Rajesh, tuduhan tersebut tidak berasas kerana pihaknya baru sahaja membawa masuk stok permaidani untuk jualan Aidilfitri.
“Memang bodohlah kalau kami bakar kedai sebab nak tuntut insurans pada waktu nak dekat puasa ini. Sekarang ini adalah waktu paling terbaik untuk peniaga karpet seperti kami dapatkan keuntungan berganda kerana orang dah mula buat persiapan raya,” katanya.
Beliau turut menambah, kontena permaidani baharu dibawa masuk hampir setiap hari sebagai persediaan jualan Aidilfitri. Rajesh yang sudah 18 tahun berniaga menegaskan dakwaan perbuatan khianat tidak berasas dan menyerahkan kepada pihak bomba untuk menyiasat punca kebakaran.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 7.49 pagi di Jalan Nilai 3/5, Pusat Borong Nilai 3 itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Menurut Rajesh, pekerja yang bertugas pada waktu kejadian terdengar bunyi pelik sebaik sahaja suis utama dihidupkan sebagai persediaan untuk siaran langsung TikTok. Tidak lama kemudian, asap mula kelihatan sebelum api marak memusnahkan gudang dan kedai permaidani berkeluasan 120,000 kaki persegi itu.
“Saya memang terkejut dengan kejadian ini. Namun, saya bersyukur kerana tiada pekerja yang cedera kerana mereka belum masuk bekerja pada waktu itu,” katanya.
Sumber: Sinar Harian








