Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Melaka bakal mencipta sejarah dengan projek pembinaan jambatan sepanjang 47.7 kilometer dari Pengkalan Balak, Masjid Tanah ke Indonesia yang hanya memakan masa sekitar 40 minit perjalanan.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kajian kebolehlaksanaan projek mega ini akan dibentangkan kepada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) pada Januari depan sebelum dirunding bersama pihak Indonesia.
Beliau menyifatkan jambatan ini sebagai projek strategik serantau yang bakal menjadi “pintu gerbang dunia terakhir” menghubungkan Malaysia dan Indonesia serta pemangkin ekonomi baharu bagi Melaka.
“Jaraknya cuma 47.7km. Kalau direalisasikan, hanya 40 minit memisahkan dua negara jiran ini,” katanya.
Baca juga:
- ‘Bukan sebab dengki’ – MP Kota Melaka jawab kenyataan Bos Mydin
- DBKL turunkan caj tapak bazar Ramadan 2026 kepada RM400
- Ambil kira keresahan masyarakat setempat, batalkan projek ternakan babi Bukit Tagar – PM
Kajian RM500,000 dan peluang ekonomi baharu
Kerajaan negeri memperuntukkan RM500,000 bagi kajian terperinci melibatkan aspek teknikal, ekonomi dan logistik projek tersebut.
Ab Rauf berkata, kewujudan Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) dan cadangan zon perindustrian baharu seluas 5,000 hektar di Masjid Tanah akan memperkukuh pembangunan jambatan ini sebagai nadi baharu ekonomi biru Melaka.
“Ekonomi biru di kawasan ini akan membuka banyak peluang pekerjaan dan pelaburan antarabangsa,” tambahnya.
Impak serantau dan transformasi mobiliti
Apabila siap kelak, jambatan Melaka-Indonesia ini dijangka bukan sekadar menghubungkan dua negara, tetapi juga mengubah corak mobiliti serantau.
Ia akan mengurangkan kebergantungan kepada laluan udara dan laut, mempercepat aliran perdagangan serta menarik pelaburan strategik ke Melaka.
Dengan masa perjalanan hanya 40 minit, jambatan ini akan menjadi simbol hubungan ekonomi dan sosial baharu antara dua negara serumpun serta menjadikan Melaka hab penghubung utama Asia Tenggara.
Sumber: Bernama / Berita Harian








