MCMC buka siasatan, individu disyaki sebar kandungan palsu terhadap SPRM | The Reporter

MCMC buka siasatan, individu disyaki sebar kandungan palsu terhadap SPRM

SPRM siasat individu disyaki sebar berita palsu.
Gambar: Facebook MCMC

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah membuka kertas siasatan terhadap seorang individu yang disyaki memuat naik kandungan berunsur palsu di platform TikTok, yang didakwa menyasarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Menurut MCMC, individu terbabit telah dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan lanjut. Dalam tindakan sama, satu unit peranti komunikasi yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan berkenaan turut disita bagi tujuan forensik digital.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

MCMC dalam kenyataannya menegaskan bahawa pihaknya memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan platform media sosial dan perkhidmatan komunikasi digital, khususnya yang melibatkan penyebaran maklumat palsu yang boleh mengelirukan orang awam.

“MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial dan media digital yang bertujuan untuk mengelirukan orang ramai dengan penyebaran maklumat palsu,”katanya.

Baca juga:

Jelasnya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar peruntukan undang-undang sedia ada, termasuk mereka yang menyalahgunakan media sosial untuk tujuan menyebarkan kandungan tidak sahih.

Sehubungan itu, orang ramai turut diingatkan agar lebih bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial dan tidak menyebarkan sebarang maklumat yang belum disahkan kesahihannya, bagi mengelakkan gangguan terhadap keharmonian masyarakat serta ketenteraman awam.

“Orang ramai diingatkan agar sentiasa bertanggungjawab dalam menggunakan platform media sosial dan media digital serta tidak menyalahgunakan kemudahan komunikasi bagi memuat naik atau menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam,” jelas kenyataan itu.

Related Posts