Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kerajaan negeri Johor mengambil pelbagai ikhtiar termasuk mengarahkan pelaksanaan solat taubat, solat hajat dan solat istisqa di masjid serta surau di seluruh negeri bagi menangani masalah bekalan air yang melanda beberapa kawasan di Pontian dan Simpang Renggam, baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, masalah tersebut berpunca daripada keadaan cuaca kering dan panas berpanjangan yang telah diramalkan lebih awal oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.
Menurutnya, ramalan pada awal 2026 menunjukkan negeri Johor dijangka mengalami cuaca panas dan kering yang berlarutan sehingga Mac, menyebabkan kerajaan negeri membuat persediaan awal termasuk merancang pelaksanaan pembenihan awan.
“Namun terdapat kekangan untuk melaksanakan pembenihan awan pada tempoh tertentu kerana angin kuat. Jika dilakukan ketika angin kuat, garam yang dilepaskan ke awan akan dibawa ke kawasan lain dan usaha itu menjadi sia-sia,” katanya menerusi Podcast Meh Dengo Jap!.
Beliau menjelaskan, ketika keadaan masih tidak menunjukkan tanda hujan sehingga Februari, Datuk Onn Hafiz Ghazi kemudian menghubunginya bagi membincangkan langkah seterusnya.
Menurut Mohd Fared, Menteri Besar ketika itu mencadangkan supaya pemimpin negeri melakukan muhasabah diri dan memperbanyakkan doa.
“Beliau tidak mengatakan rakyat yang banyak dosa, tetapi menyatakan mungkin kita sebagai pemimpin yang banyak dosa dan perlu memohon keampunan kepada Allah,” katanya.
Baca juga:
- JPNS larang sekolah tahan sijil pelajar gagal bayar yuran PIBG
- ‘Tiada pelanggaran SOP iring banduan’ – Jabatan Penjara
- Kanak-kanak 7 Tahun alami kecederaan serius, 50% saraf kaki rosak akibat dilanggar kereta
Susulan itu, kerajaan negeri mengarahkan semua masjid dan surau di Johor melaksanakan solat taubat secara serentak, selain solat hajat berjemaah serta solat istisqa bersama khutbah khas.
Tambah beliau, masyarakat setempat, pemimpin komuniti serta pelajar tahfiz turut dihimpunkan untuk mengadakan khatam al-Quran di dua empangan utama di kawasan terjejas.
“Murninya ialah kepimpinan negeri merendahkan diri dengan mengakui kelemahan sebagai pemimpin terlebih dahulu.
“Dengan izin Allah, selepas usaha-usaha tersebut dilakukan, hujan turun dan masalah bekalan air di Pontian serta Simpang Renggam dapat diselesaikan,” katanya.








