Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Penemuan anggota badan manusia di kawasan pembuangan sampah di Taman Indah Permai, Kota Kinabalu, pagi tadi mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat apabila siasatan mendapati mangsa dipercayai dibunuh sebelum tubuhnya dikerat.
Kes itu mula terbongkar selepas seorang pekerja lori sampah menemui sebahagian anggota badan ketika menjalankan kerja rutin sekitar jam 6.30 pagi, sebelum memaklumkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa.
Siasatan awal mendapati beberapa bahagian tubuh manusia, termasuk tangan dan kaki, ditemui di dalam tong sampah yang dipercayai telah dibuang dalam plastik hitam. Keadaan itu menimbulkan syak bahawa mangsa dibunuh sebelum mayatnya dipotong kepada beberapa bahagian.
Susulan penemuan tersebut, polis segera menjalankan pencarian di kawasan sekitar, termasuk menyelongkar semula sampah yang sudah dimasukkan ke dalam lori, bagi mengesan kemungkinan anggota badan lain.
Baca juga:
- JPNPP siasat dakwaan murid Tahun Dua dipukul dengan pembaris
- ‘Zamri Vinoth, Tamim Dahri larikan diri ke Thailand’ – KPN
- Stadium Nasional Bukit Jalil kini TM Stadium Nasional, Stadium Putra jadi Unifi Arena
Kepala dan badan ditemui berhampiran pasar raya
Hasil pencarian berterusan akhirnya membawa kepada penemuan kepala dan badan mangsa sekitar jam 11.40 pagi di sebuah lagi lokasi pembuangan sampah berhampiran Pasaraya Bataras Indah Permai.
Bagaimanapun, sehingga tengah hari tadi, sebahagian anggota badan lain masih belum ditemui sepenuhnya, dan pihak polis meneruskan siasatan bagi memastikan semua bukti dapat dikumpulkan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Menurutnya, pihak polis masih belum memperoleh petunjuk kukuh berhubung identiti mangsa dan motif kejadian, namun perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Sumber: Harian Metro








