Mayat dua beranak ditemui dalam longkang, lelaki warga asing ditahan | The Reporter

Mayat dua beranak ditemui dalam longkang, lelaki warga asing ditahan

Seorang lelaki warga asing berusia 43 tahun telah ditahan oleh pihak polis di Masjid Bukit Pinang pada 19 Ogos 2024, selepas penemuan mayat seorang wanita berusia 34 tahun dan anak perempuannya berusia 10 tahun.

Kedua-dua mangsa ditemukan dalam longkang di belakang bangunan terbiar berdekatan Pekan Simpang Kuala dengan kesan kelar pada leher.

Mayat dua beranak tersebut ditemui oleh orang awam sekitar jam 5 petang, yang kemudian menghubungi pihak polis.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad mengesahkan kedua-dua mayat tersebut adalah warga asing dan ditemukan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.

Suspek yang dipercayai suami dan bapa kepada kedua-dua mangsa akan dibawa ke Mahkamah Alor Setar hari ini untuk permohonan tahanan reman bagi meneruskan siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pihak polis menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat dan meminta kerjasama daripada individu yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian untuk tampil memberi keterangan di mana-mana balai polis berhampiran.

Kes sedang disiasat bagi mengenal pasti motif kejadian.

Sumber: Harian Metro, Kosmo! Online

Related Posts