Masjid At-Taqwa TTDI nafi dakwaan diboikot | The Reporter

Masjid At-Taqwa TTDI nafi dakwaan diboikot

Masjid At Taqwa nafi dakwaan tular.
Masjid At-Taqwa TTDI

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Masjid At-Taqwa menafikan dakwaan kononnya masjid berkenaan diboikot susulan satu hantaran tular di aplikasi Threads pada 22 Februari lalu. Hantaran yang dimuat naik sekitar jam 6.32 petang itu memaparkan suasana agak lengang ketika waktu berbuka puasa, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dan komentar negatif dalam kalangan pengguna media sosial.

Pengerusinya, Dato’ Mohd Fadzli Yusof dalam kenyataan rasmi memaklumkan, pihak masjid memandang serius sebahagian komen yang boleh mencemarkan reputasi dan nama baik institusi tersebut. Jelas beliau, gambar yang dimuat naik adalah sebelum kehadiran penuh jemaah, kerana kebiasaannya orang ramai mula memenuhi ruang masjid sekitar jam 7.00 malam.

“Hantaran tersebut menunjukkan suasana agak lengang tanpa kehadiran jemaah sepenuhnya. Hakikatnya, jemaah mula memenuhi masjid bermula jam 7.00 malam,” katanya.

Menurutnya, sebagaimana Ramadan tahun lalu, jumlah jemaah yang hadir berbuka puasa pada tahun ini adalah sekitar 800 hingga 1,000 orang setiap hari. Malah, terdapat keadaan di mana pihak masjid terpaksa menempah makanan tambahan apabila kehadiran melebihi jangkaan. Selain menyediakan juadah berbuka di masjid, makanan turut diagihkan kepada orang awam di Stesen MRT Taman Tun Dr Ismail serta dihantar ke rumah ahli kariah yang uzur.

“Sepertimana Ramadan tahun lepas, bilangan jemaah yang datang berbuka puasa di masjid pada tahun ini juga adalah lingkungan 800-1000 orang setiap hari.

“Pihak masjid menyantuni semua jemaah yang hadir tanpa syarat. Ada ketikanya, pihak masjid menempah makanan tambahan bagi menampung jemaah yang hadir terlalu ramai diluar jangkaan,” katanya.

Bagi Ramadan tahun ini ujarnya, pihak masjid memperuntukkan dana sebanyak RM450,000 untuk program berbuka puasa, moreh dan sahur sepanjang bulan mulia itu.

Baca juga:

Dalam pada itu, pihak pengurusan turut menitikberatkan pengimarahan masjid melalui pengajian ilmu agama dengan penyediaan barisan asatizah bertauliah. Kuliah subuh, maghrib, dhuha serta zohor muslimat diadakan setiap hari. Kehadiran solat subuh berjemaah pula direkodkan sekitar 500 orang dalam kalangan muslimin dan muslimat setiap hari.

Masjid berkenaan juga memberi perhatian terhadap penglibatan belia dan kanak-kanak sebagai generasi pelapis. Antara inisiatif dilaksanakan termasuk kelas mengaji mingguan, Hari Kanak-Kanak peringkat masjid, Program Khatan Perdana, Kids Zone sepanjang Ramadan serta program Semarak Cinta Al-Quran: Cilik Cinta Al-Quran. Aktiviti riadah seperti pertandingan karom dan e-sukan turut dianjurkan bagi menarik minat golongan muda.

Dari aspek pentadbiran, pengurusan masjid dilaksanakan selaras Kaedah-Kaedah Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) (Jawatankuasa Kariah) 2019 serta garis panduan pengurusan kewangan dan tanah perkuburan Islam Wilayah Persekutuan.

Dalam kenyataan berkenaan, Fadzli turut menyeru umat Islam agar menjadikan Ramadan sebagai medan memperkukuh kehambaan kepada Allah SWT dan memupuk kesatuan dalam kepelbagaian.

“Raikan kepelbagaian dalam perbezaan untuk menyemai kesatuan dalam titik persamaan,” ujarnya.

Related Posts