Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Mas Idayu dan suaminya, Muhamad Sufian Che Isa, mengambil keputusan untuk menamatkan perkahwinan mereka selepas hampir tiga tahun bersama. Pasangan itu sah bercerai pada 4 Mac lalu di Mahkamah Syariah Shah Alam.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Sufian, 54, yang juga Penerbit Eksekutif TV3, ketika dihubungi oleh Harian Metro. Menurutnya, perceraian itu berlaku secara baik dan mereka masih berkawan walaupun tidak lagi bergelar suami isteri.
“Memang betullah gosip itu. Kami dah sah bercerai pada 4 Mac lalu di Mahkamah Syariah Shah Alam. Punca perceraian, saya anggap kami sudah tiada jodoh saja,” katanya.
Tiada sengketa, masih hormat antara satu sama lain
Sufian menegaskan, walaupun perkahwinan mereka tidak berpanjangan, tiada pergaduhan berlaku. Malah, beliau menerima ketentuan ini dengan hati terbuka dan kekal positif.
“Bagaimanapun, hubungan antara kami masih lagi baik sebagai sahabat. Tapi, jodoh kami nampaknya sampai di sini saja dan saya positif menerima takdir yang sudah ditetapkan ini.
“Pada usia saya yang sudah tua ini, nak bermasam muka atau bergaduh pun buat apa? Bagi saya, memang jodoh kami sampai di sini saja.”
Sedia bekerjasama dalam dunia hiburan
Mengulas lanjut, Sufian menyatakan beliau tetap profesional dan terbuka untuk bekerjasama dengan Mas Idayu dalam sebarang program produksi TV.
“Saya pun tetap bersedia untuk terus bekerjasama dengan dia dalam program dijalankan stesen TV. Kami pun berpisah secara baik.
“Setakat ini, hubungan antara kami pun masih tetap baik walaupun sekarang sudah bercerai. Saya akan terus beri sokongan pada kerjaya seninya, termasuk sebagai juri program.”
Bermula dari Mentor, berakhir sebagai sahabat
Mas Idayu, 53, dan Sufian mendirikan rumah tangga pada September 2022. Mereka mula berkenalan ketika program Mentor 3 pada tahun 2008 dan kembali rapat pada 2021, sebelum memutuskan untuk berkahwin.
Perkahwinan itu adalah yang kedua buat kedua-duanya. Mas Idayu pernah berkahwin dengan pelakon Aman Graseka pada 1997 dan bercerai pada 2006. Mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Dayini Asyiqa, kini berusia 27 tahun.
Sufian pula pernah mendirikan rumah tangga bersama personaliti TV, Intan Suraya dan hasil perkahwinan itu mereka turut mempunyai seorang anak.








