'Mereka ramai pemain luar negara' – Vietnam akur kekuatan Harimau Malaya selepas dibelasah 4-0 | The Reporter

‘Mereka ramai pemain luar negara’ – Vietnam akur kekuatan Harimau Malaya selepas dibelasah 4-0

Pemain Malaysia dan Vietnam berebut bola dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027
Pertembungan sengit antara Harimau Malaya dan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil | Gambar: Sinar Harian

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Malaysia mencipta kemenangan bergaya ke atas Vietnam dengan keputusan 4-0 dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027, sekali gus mengejutkan jurulatih lawan, Kim Sang-sik, yang mengakui kehebatan Harimau Malaya.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam tadi menyaksikan sorakan lebih 60,000 penyokong bergema apabila skuad negara meledak empat gol dalam separuh masa kedua hasil sentuhan pemain berdarah kacukan yang menjadi tunjang kekuatan Malaysia.

Jurulatih Vietnam, Kim Sang-sik, nyata terpukul dengan keputusan itu dan tidak menyembunyikan rasa terkejutnya. Dalam sidang media selepas perlawanan, beliau berkata, “Ia keputusan yang tidak dijangka. Saya tahu penyokong cukup kecewa dan saya bertanggungjawab dengan kekalahan ini.

“Dalam perlawanan ini Malaysia sangat kuat. Mereka ramai pemain dari luar negara. Itu fakta kami perlu terima.”

Kemenangan ini turut menamatkan badi 11 tahun tanpa kemenangan Malaysia ke atas Vietnam dan melonjakkan Harimau Malaya ke puncak Kumpulan F dengan enam mata penuh hasil dua kemenangan.

Joao Vitor Figueiredo membuka tirai jaringan pada minit ke-49 apabila bola rembatan terkena pemain pertahanan Vietnam dan melambung masuk ke gawang, mengejutkan penjaga gol Nguyen Filip. Sembilan minit kemudian, Rodrigo Holgado menggandakan kelebihan selepas menyambut hantaran Arif Aiman dan melepasi kawalan pertahanan.

Malaysia tidak berhenti di situ. La’Vere Corbin Ong menambah gol ketiga hasil satu lagi gerakan daripada Arif Aiman, sebelum Dion Cools melengkapkan malam indah skuad negara dengan jaringan keempat pada minit ke-88.

Kemenangan ini bukan sahaja menghidupkan harapan Malaysia ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi, malah membuktikan pendekatan taktikal jurulatih Peter Cklamovski bersama barisan pemain naturalisasi membawa hasil memberangsangkan.

Sumber: Sinar Harian, Berita Harian

Related Posts