Makcik Kemboja didenda RM40,000, anak hanya dikenakan bon berkelakuan baik - The Reporter

Makcik Kemboja didenda RM40,000, anak hanya dikenakan bon berkelakuan baik

Makcik Kemboja didenda RM40,000
Sumber gambar: Malaysia Gazette

Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.


Seorang usahawan wanita, Mariyah Yaakob, 48, yang juga dikenali sebagai Makcik Kemboja, dijatuhkan hukuman denda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen atas kesalahan mengeluarkan kenyataan jelik menerusi video di media sosial yang mendakwa orang Melayu sebagai malas.

Hakim Azaraorni Abd Rahman turut memerintahkan hukuman penjara enam bulan sekiranya denda gagal dibayar, namun Mariyah telah membayar denda tersebut.

Anaknya, Ezuan Hafsham Mohd Hisyam, 23, yang turut didakwa dalam kes sama kerana memulakan hantaran video tersebut di TikTok, dilepaskan dengan bon berkelakuan baik bernilai RM10,000 tanpa cagaran selama setahun.

23 laporan polis

Kes ini bermula apabila Mariyah memuat naik video kontroversi di TikTok pada 16 November 2023. Rakaman itu jelas menunjukkan Mariyah mengeluarkan kenyataan bahawa orang Melayu malas, mencetuskan 23 laporan polis di seluruh negara, termasuk 12 laporan di Melaka.

Ezuan pula didakwa memulakan hantaran video itu di platform sama antara 14 hingga 16 November 2023. Tindakan tersebut menyebabkan dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun.

Guris sensitiviti kaum

Pendakwa, Ahmad Sazali Omar, berhujah bahawa kenyataan Mariyah telah mengguris sensitiviti kaum dan melibatkan isu 3R (kaum, agama, raja-raja).

“Kesalahan ini telah menimbulkan ketegangan masyarakat. Biarpun permohonan maaf telah dibuat, kesan perbuatan tersebut masih dirasai,” katanya.

Peguam Mariyah, Kamal Hisham Jaafar, bagaimanapun merayu mahkamah mengenakan hukuman ringan atas alasan anak guamnya menanggung tiga anak yang masih bersekolah serta seorang ibu berusia 70 tahun. Bagi Ezuan pula, beliau memohon anak guamnya hanya dikenakan bon berkelakuan baik kerana sedang melanjutkan pengajian di University of Reading.

Nak mulakan hidup baharu

Selepas prosiding, Mariyah tampil memohon maaf sekali lagi kepada orang ramai atas kenyataannya.

“Saya insaf dengan kesalahan saya. Terima kasih kepada pihak yang menyokong dan saya berjanji akan memulakan kehidupan baharu,” katanya di luar mahkamah.

Peguamnya turut menjelaskan bahawa Mariyah banyak menghasilkan video motivasi sebelum ini, namun secara tidak sengaja melampaui garis undang-undang dalam video yang menjadi isu.

Mariyah kini berharap dapat terus memberi inspirasi kepada masyarakat melalui kandungan yang lebih positif dan membina.

Sumber: Harian Metro, Malaysia Gazette

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Copyright reserved!