Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Sambutan Hari Kebangsaan 2024 adalah detik yang penuh kesyukuran bagi tanah air kita. Sudah 67 tahun kita menikmati kemerdekaan ini. Antara acara yang dinantikan adalah perarakan Hari Kebangsaan yang memukau dengan perbarisan pelbagai kontinjen, jentera dan aset keselamatan negara.
Kebiasaannya, perarakan ini bermula seawal pukul 7 pagi dan para peserta yang ingin menyaksikannya perlu datang seawal sehari sebelum untuk mengelakkan kesesakan trafik dan mendapatkan tempat yang baik.
Namun, dalam keterujaan menyambut hari kebangsaan ini, seorang ustaz tampil memberikan teguran yang mengundang perhatian ramai.
Beliau berkata, “Kesian, sanggup datang berhimpun pukul 4 pagi. Mungkin kalau rumahnya jauh, perlu bertolak pukul 2 atau 3 pagi. Waktu sebegini, kita sepatutnya luangkan masa bertemu Tuhan melalui ibadah tahajud. Pasti diangkat darjat setinggi-tingginya. Namun, sebaliknya, majoriti umat Islam tidak mengerjakan solat Subuh. Subhanallah!”
Ustaz berkenaan menegaskan, sambutan hari kebangsaan boleh menjadi sesuatu yang melalaikan. Beliau berkata, “Apabila program yang ditunggu-tunggu ini menyebabkan seseorang meninggalkan hak Allah (solat Subuh), maka inilah yang disebutkan dalam al-Quran sebagai Thaghut (amalan menyesatkan manusia daripada ajaran Islam).
“Beribu alasan untuk membawa keluarga ke majlis ilmu, tapi boleh pula beri komitmen ntuk bawa keluarga berlibur. Sanggup berpanasan untuk melihat perbarisan.
“Ini adalah budaya barat. Kita bukan seperti mereka, kita seharusnya berlumba-lumba melakukan kebaikan dan meninggalkan segala larangan Allah SWT,”
Beliau menyeru agar kita lebih berfokus pada ibadah dan mengambil peluang untuk melakukan solat Dhuha. Melalui amalan Dhuha, kita akan diberikan kebaikan sewaktu menanti ‘perbarisan’ yang amat panjang di akhirat kelak, ketika menunggu giliran untuk dihisab.
Menyedari tegurannya itu dikritik netizen, beliau meminta orang ramai tidak perlu melenting kerana dia tidak menyebut ‘semua’ orang mahupun nama individu.
Sumber: mStar Online








