Mahkamah arah pasangan suami isteri turunkan hantaran fitnah terhadap Fattah Amin | The Reporter

Mahkamah arah pasangan suami isteri turunkan hantaran fitnah terhadap Fattah Amin

Fattah Amin failkan saman 26 Ogos lalu.
Gambar: Instagram Fattah Amin.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan pasangan suami isteri menurunkan semua hantaran di akaun Threads mereka yang didakwa berunsur fitnah terhadap pelakon popular, Fattah Amin, berhubung isu perceraian.

Defendan dalam kes itu ialah pempengaruh media sosial, Nuraien Adilla Hasha Akhbar dan suaminya, Mohd. Hafizzuddin Hamri, masing-masing berusia 29 tahun.

Peguam Fattah, Mohd. Faiz Iskandar Hamzah berkata, keputusan tersebut dibuat Hakim Datuk Anand Ponnudurai selepas membenarkan permohonan injunksi ad-interim secara ex-parte yang difailkan oleh anak guamnya.

“Mahkamah telah membenarkan permohonan ex-parte plaintif dan mengarahkan defendan-defendan menurunkan semua posting berkenaan,” katanya.

Baca juga:

Selain itu, mahkamah turut menghalang pasangan berkenaan daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan Fattah, khususnya dakwaan kononnya beliau berlaku curang. Tarikh pengurusan kes ditetapkan pada 25 September ini.

Memetik laporan Kosmo, Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd. Amin, 36, memfailkan saman pada 26 Ogos lalu dengan menamakan pasangan tersebut sebagai defendan pertama dan kedua. Dalam tuntutan itu, beliau mendakwa kenyataan fitnah telah diterbitkan menerusi Threads masing-masing pada 29 Julai dan 22 Ogos 2025, lalu disebarkan secara meluas termasuk di portal hiburan.

Menurut Fattah, kenyataan tersebut dibuat tanpa pengesahan dan bertujuan mencemar nama baik serta menjatuhkan reputasinya di mata masyarakat. Beliau juga mendakwa mengalami gangguan emosi, penghinaan serta pengaiban umum akibat perbuatan itu.

“Keseluruhan tindakan defendan-defendan adalah bersifat terancang, disengajakan dan bersepakat sebagai sebahagian daripada suatu konspirasi,” jelas Fattah dalam pernyataan tuntutannya.

Sehubungan itu, beliau memohon injunksi bagi menghalang pasangan terbabit daripada menerbitkan sebarang kenyataan fitnah, selain menuntut permohonan maaf secara bertulis di media sosial mereka. Fattah turut menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan berjumlah RM5 juta.

Sebelum ini, laporan media menyebut Fattah bersama pasukan pengurusannya sedang mengambil tindakan undang-undang berhubung dakwaan curang dan kewujudan ‘orang ketiga’ yang dikaitkan dengan punca perceraian.

Related Posts