Kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu dijadikan pengajaran dan bukan pengakhiran kepada perjuangan politik Pakatan Harapan (PH), kata Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar.
Dalam kenyataan hari ini, Mahfuz mengucapkan tahniah kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN) atas kemenangan dalam PRN Johor sambil menegaskan keputusan tersebut merupakan mandat rakyat yang wajib dihormati.
Beliau berharap kerajaan negeri yang baharu dapat melaksanakan amanah dengan penuh integriti, mengutamakan kebajikan rakyat serta meletakkan kepentingan Johor dan Malaysia melebihi kepentingan politik.
“Johor mengajar kita bahawa rakyat tidak boleh dianggap akan mengundi kita selama-lamanya. Keyakinan rakyat perlu dimenangi semula setiap hari, bukan hanya ketika musim pilihan raya,” katanya.
Mahfuz turut mengucapkan penghargaan kepada rakyat Johor yang menjalankan tanggungjawab demokrasi melalui peti undi, selain mengucapkan tahniah kepada calon PH yang berjaya memenangi kerusi pada PRN berkenaan.
Amanah yang perlu dipikul
Menurut beliau, kemenangan bukan satu keistimewaan sebaliknya amanah besar yang perlu dipikul dengan mendengar suara rakyat, merendah diri serta bekerja tanpa mengenal penat.
Dalam masa sama, beliau menyeru calon PH yang tidak berjaya supaya tidak menganggap kekalahan sebagai pengakhiran, sebaliknya menjadikan pengalaman itu sebagai ruang untuk memperbaiki kelemahan.
“Kekalahan adalah guru yang paling jujur. Bangkitlah dengan lebih kuat, lebih dekat dengan rakyat dan lebih bersedia menghadapi cabaran akan datang,” katanya.
Mahfuz berkata, nilai perjuangan tidak hanya diukur berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi, tetapi turut bergantung kepada kesetiaan terhadap prinsip dan kesanggupan untuk terus berkhidmat kepada rakyat.
Baca juga:
- Maszlee anggap kemenangan di Puteri Wangsa amanah besar, janji jadi ‘pekerja’ rakyat
- ‘Kekalahan di Johor pengajaran, perjuangan PH diteruskan di Negeri Sembilan’ – Mahfuz Omar
- PRN Negeri Sembilan: Pas akui rundingan kerjasama dengan BN sedang berjalan
Kembalikan keyakinan rakyat
Mengulas keputusan PRN Johor, beliau berkata PH akan meneliti keputusan tersebut dengan penuh keinsafan, mengenal pasti kelemahan serta memperbaiki segala kekurangan.
“Jangan menyalahkan rakyat atas pilihan mereka. Sebaliknya, menjadi tanggungjawab kita untuk mendapatkan semula keyakinan mereka melalui kerja yang lebih baik, dasar yang lebih dekat dengan kehidupan rakyat dan politik yang lebih matang,” katanya.
Beliau menegaskan perjuangan untuk membawa politik bersih, pentadbiran berintegriti dan masa depan lebih baik untuk Malaysia akan diteruskan walaupun berdepan kekalahan dalam pilihan raya.
Menurut Mahfuz, selepas Johor, tumpuan kini beralih kepada Negeri Sembilan yang bakal menyaksikan perjuangan seterusnya.
“Johor adalah pengajaran, bukan penamat. Jangan biarkan kekecewaan semalam merampas peluang esok. Kita bangkit, kita belajar dan kita terus melangkah,” katanya.
Beliau berkata, pejuang sebenar bukan hanya diukur ketika menang, tetapi bagaimana mereka bangkit ketika berdepan kekalahan.









