'Madam Kwan's tidak memegang sijil halal, tetapi bahan mentah diperoleh dari pembekal yang memegang sijil halal' - Pengurusan Madam Kwan's - The Reporter

‘Madam Kwan’s tidak memegang sijil halal, tetapi bahan mentah diperoleh dari pembekal yang memegang sijil halal’ – Pengurusan Madam Kwan’s

Status halal sesebuah kedai makan dan restoran sering diragui oleh sesetengah pelanggan. Walaupun kedai tersebut menjadi tular dalam kalangan masyarakat Melayu terutamanya, timbul prasangka dari segi penyediaan makanan tersebut.

Rentetan isu tersebut juga, pihak pengurusan restoran terkenal, Madam Kwan’s mendedahkan mereka tidak memegang status sijil halal. Namun begitu, pihak mereka menyakinkan semua bahan mentah yang digunakan dalam hidangan diperoleh dari pembekal yang memegang sijil halal.

“Pada masa ini, Madam Kwan’s tidak memegang sijil halal. Walau bagaimanapun, kami ingin menyakinkan anda bahawa semua bahan-bahan yang digunakan dalam hidangan kami, termasuk ayam dan daging, diperoleh daripada pembekal yang memegang sijil halal,”tulis kenyataan itu.

Dalam masa sama, pihak mereka menjelaskan pihak restoran sukar mendapatkan sijil halal kerana premis berkenaan menyediakan minuman beralkohol.

“Kehadiran minuman beralkohol di premis kami telah menjadi halangan untuk mendapatkan sijil halal rasmi.

“Walau bagaimanapun, kami mempunyai protokol yang ketat untuk memastikan tidak ada pencemaran silang dan makanan serta minuman kami disediakan secara berasingan daripada minuman yang mengandungi alkohol,” katanya.

Pihak premis berkenaan mengakui kepentingan sijil halal kepada pelanggan dan mengalu-alukan sebarang pertanyaan (komunikasi) antara pihak premis dan pelanggan.

“Kami memahami kepentingan sijil halal kepada pelanggan Muslim kami, dan kami berdedikasi membuat penjelasan dalam menangani perkara ini. Walaupun kami tidak memohon sijil halal pada masa ini, kami ingin memastikan bahawa kami prihatin dengan kebimbangan anda.

“Sebagai sebahagian daripada komitmen kami kepada penjelasan tersebut, kami menggalakkan komunikasi terbuka dengan pelanggan yang dihargai. Kami sentiasa bersedia untuk menjawab sebarang soalan atau kebimbangan yang anda ada mengenai makanan kami dan penyediaannya,” katanya.

Sumber: Rizal Hakim Punyer

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!