Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pelakon Kilafairy menarik perhatian ramai selepas berkongsi perasaan jujur tentang cabaran untuk istiqamah memakai hijab. Dalam satu hantaran di media sosial, beliau mengakui ada masanya timbul keinginan untuk kembali membuka tudung.
“Kenapa rasa macam nak buka tudung balik ni? Tapi bila saya fikir semula… kenapa saya nak puaskan hati manusia? Sepatutnya saya kena lakukan semuanya kerana Allah, bukan kerana manusia.
“Sekarang baru saya faham kenapa orang kata istiqamah itu susah. Astaghfirullahal’azim. Ya Allah, kuatkan iman saya. Doakan saya, tolong semua,” tulisnya.

Luahan itu menerima ribuan tanda suka dan ratusan komen yang penuh kata semangat. Rakan artis turut memberikan nasihat agar Kilafairy tidak berputus asa dalam usaha berubah ke arah lebih baik.
Shera Aiyob menulis, “Saya faham perasaan tu. Ya, nak berhijrah memang mudah, tapi untuk istiqamah sangat mencabar. Kita manusia biasa, hamba-Nya yang lemah. Iman kita bukan sekadar turun naik, malah keluar masuk. Jadi memang normal untuk rasa macam ni.
“Bila rasa lemah atau sebelum buat keputusan, selalu tanya diri, Allah suka tak kalau kita buat macam ni? Tapi memang betul, cakap senang, nak buat tu yang susah. Ambil masa awak perlahan-lahan. Saya sayang awak.”
Betty Rahmad juga berkongsi pesanan, “Ramai yang sayangkan awak. Ramai yang mendoakan awak. Insya-Allah. Jangan tinggal solat dan selalu doakan diri sendiri. Istiqamah tu bukan terus jadi sempurna, tapi bila kita buat salah, kita cepat kembali kepada Allah. Harap nanti lepas habis penggambaran awak boleh sertai saya di majlis ilmu.”
Nad Zainal turut memberi dorongan, “Kila… ini ujian. Saya tahu awak kuat! Awak tetap cantik sangat bila berhijab!”
Perkongsian Kilafairy ini membuka perbincangan mengenai cabaran untuk kekal istiqamah dalam penghijrahan, terutamanya bagi selebriti yang sentiasa menjadi perhatian ramai.








