Lorong Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) yang sibuk dengan kemeriahan bazar Ramadan sepanjang bulan lalu berubah menjadi lokasi yang menyedihkan pada pagi Syawal apabila sisa niaga ditinggalkan bersepah.
Video tular di TikTok memaparkan keadaan lorong tersebut dipenuhi plastik, kotak dan lebihan makanan. Petugas pembersihan dilihat bertungkus-lumus memulakan kerja seawal pagi untuk mengembalikan kebersihan kawasan itu.
Situasi ini menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan netizen. Ramai mempersoalkan sikap segelintir peniaga yang seolah-olah melepaskan tanggungjawab menjaga kebersihan selepas tamat berniaga.
Ada yang menyuarakan pandangan bahawa peniaga perlu lebih bertanggungjawab kerana telah memperoleh keuntungan sepanjang Ramadan. Menurut mereka, kerja membersihkan tapak bukan sepatutnya diletakkan sepenuhnya atas bahu pekerja pembersihan.
- JAKIM nafi iktiraf sijil nikah Rohingya, dokumen bukan keluaran pihak berkuasa agama
- Anwar beri amaran, rakyat Israel dikesan di Malaysia akan diusir jika dakwaan benar
- Ahmad Badri dilantik Pengerusi FELDA baharu, ganti Ahmad Shabery Cheek
- Deschamps persoal tahap pengadil, ‘layak ke kendali separuh akhir Piala Dunia?’
- Dari skrin ke realiti? Korea Selatan tubuh pasukan khas lindungi hak guru
Beberapa komen turut mencadangkan agar pihak berkuasa tidak memulangkan deposit kepada peniaga yang gagal menjaga kebersihan. Malah, ada yang mencadangkan syarat tambahan dikenakan agar peniaga benar-benar patuh pada tanggungjawab asas ini.
Selain menegur sikap peniaga, ada juga netizen mengingatkan bahawa kebersihan adalah nilai penting dalam Islam. Ia seharusnya diamalkan sepanjang masa dan bukan hanya ketika musim perayaan atau acara keagamaan.
Ramai berharap penganjuran bazar pada masa hadapan dibuat dengan pemantauan yang lebih tegas serta kerjasama semua pihak agar kejadian seumpama ini tidak terus berulang.








