Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Satu kebakaran dilaporkan berlaku di kawasan hutan di Bukit Broga, Semenyih pada malam tadi melibatkan anggaran keluasan kebakaran dua ekar. Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih menerima panggilan tersebut pada jam 7.39 bergegas ke tempat kejadian.
Menerusi satu hantaran di Facebook rasmi BBP Semenyih, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih, Mohd Darul Azrin Md Desa berkongsikan situasi yang berlaku di lokasi kejadian.
“Kami bertungkus lumus mengawal kebakaran daripada merebak dari teruk lagi. Dengan cuaca yang panas dan angin yang kencang menyebabkan kebakaran menjadi lebih marak.
“Kami turut memohon balai-balai bomba berdekatan untuk hadir ke lokasi,” katanya.
Dalam pada itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, berkata lokasi kebakaran membabitkan kawasan hutan di atas puncak Bukit Broga.
“Kawasan hutan yang terbakar dianggarkan berkeluasan dua ekar (0.8 hektar) dan kerja memadam kebakaran kini sedang giat dijalankan.
“Buat masa ini, kita belum dapat memastikan punca kebakaran,” katanya.



Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan turut berada di lokasi kejadian. Dalam satu hantaran, Sany memaklumkan kerja-kerja operasi pemadaman selesai pada jam 2.00 pagi.








