Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Tular ketika ini, satu dakwaan yang mengatakan reka bentuk logo kasut keluaran syarikat jenama tempatan, Vern’s tertera kalimah Allah di tapak kasut. Situasi tersebut telah mengundang pelbagai persepsi ramai apatah lagi isu mengenai stoking tertera kalimah Allah masih hangat diperkatakan.
Bertindak diatas penularan tersebut, pihak pengurusan Vern’s dalam satu kenyataan telah membuat permohonan maaf.
“Kami pihak pengurusan Vern’s telah dimaklumkan mengenai satu isu yang telah menyinggung ramai pihak terutama yang beragama Islam.
“Pertama sekali, ingin dijelaskan bahawa pihak kami sama sekali tidak berniat untuk menghasilkan reka bentuk logo yang bertujuan untuk memperlekeh atau menghina mana-mana agama atau kepercayaan,” tulis kenyataan itu.
Dalam pada itu, Vern’s meminta diberikan ruang untuk pihak mereka menjelaskan tentang logo berkenaan.
“Kami berharap agar diberikan ruang untuk menjelaskan reka bentuk logo tersebut.
“Untuk pengetahuan semua, logo ini 100% diilhamkan berdasarkan bayangan garisan tali yang bersambung dengan sebuah kasut tumit tinggi, seperti yang tertera di gambar yang dilampirkan.
“Bagaimanapun, kami akui terdapat kekurangan pada rekaan logo tersebut yang boleh mengakibatkan ia disalah tafsir, seterusnya menyinggung perasaan ramai pihak,” katanya.
Memulangkan wang pelanggan
Susulan itu juga, pihak Vern’s menyatakan mereka telah mengentikan penjualan kasut berkenaan dan akan memulangkan kembali wang kepada pelanggan.
“Pihak kami telah mengambil langkah segera berhenti jual dan bersedia untuk memulangkan kembali wang kepada pelanggan yang telah membeli barangan tersebut.
“Dengan rasa rendah diri, kami pihak pengurusan ingin memohon kemaafan semua dan mengharapkan belas ihsan untuk diberikan ruang memperbaiki kesilapan yang telah berlaku,” katanya.
Sumber: vern’s_official








