Seorang ibu bersama empat anaknya terpaksa tinggal dalam rumah sewa yang penuh timbunan sampah tanpa bekalan elektrik sejak 2016, selepas suaminya dipenjara dan ahli keluarga terdekat terjerumus dalam najis dadah.
Keadaan rumah di Kampung Padang Tembak, Kluang itu meloyakan, dengan sampah memenuhi ruang tamu hingga ke dapur. Wanita berusia 37 tahun itu bekerja sebagai pembuat colok dengan upah harian sekitar RM65, namun tidak mampu mencari kediaman lebih selesa.
Anak-anak takut tinggal di rumah
Mengakui tertekan dengan keadaan hidup, dia mahu keluar dari rumah itu tetapi terhalang oleh masalah kewangan.
“Anak-anak takut dengan pak cik mereka, saya juga risau kerana dia pernah mengamuk dan menyelongkar bilik mencari wang. Bila tak jumpa, dia jual apa sahaja barang yang ada,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Tanpa tilam untuk tidur, mereka berlima hanya beralaskan lantai ruang tamu. Dia sering kepenatan selepas pulang bekerja, kadangkala hanya mampu membeli lauk dan meminta anak-anak memasak nasi sendiri.
“Bulan puasa ini, kami kerap ke rumah saudara untuk berbuka dan balik sekitar jam 10 malam,” katanya.




Tiada kemudahan asas, sukar mohon bantuan
Sejak suaminya dipenjarakan tujuh tahun lalu atas kesalahan dadah, wanita itu menjadi satu-satunya tempat bergantung buat anak-anaknya yang berusia antara tujuh hingga 13 tahun. Anak sulungnya pula merupakan orang kurang upaya (OKU) intelektual.
Dia pernah cuba mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tetapi tidak mahir dengan proses permohonan.
“Saya diminta beri nombor akaun bank serta bil air dan elektrik, tapi rumah saya sudah lama tiada bekalan itu. Air pun kami ambil dari paip lain,” katanya.
Pihak berwajib turun padang
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah memaklumkan bahawa pihaknya akan turun padang bagi meneliti keadaan keluarga berkenaan dan mencari penyelesaian.
Sebelum ini, video memaparkan keadaan rumah tersebut tular di media sosial, mengundang pelbagai reaksi netizen yang prihatin terhadap nasib lima beranak itu.








