Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan membenarkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri memaklumkan keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang berlangsung hari ini.
Menurut kenyataan itu, pengampunan bersyarat berkenaan tertakluk kepada pembayaran denda sebanyak RM50 juta oleh Najib.
Najib juga dikehendaki mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan sepanjang menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.
Baca juga:
- ‘Najib masih boleh sumbang idea, pandangan dan pengalaman demi negara’ – PAS
- Marhamah Rosli nafi terlibat amalan dukun, New Age
- UMNO lancar tabung bantu Najib lunas denda RM50 juta
BHEUU berkata, sekiranya beliau gagal mematuhi mana-mana syarat berkenaan, pengampunan bersyarat itu akan terbatal.
Dalam keadaan tersebut, Najib perlu serta-merta meneruskan baki hukumannya di penjara.
Mesyuarat Lembaga Pengampunan kali ke-64 itu diadakan seminggu selepas mesyuarat ke-63 pada 11 September lalu yang memutuskan supaya pertimbangan terhadap permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke mesyuarat akan datang.
Najib sebelum ini menjalani hukuman penjara susulan sabitan dalam kes SRC International. Pada 2024, Lembaga Pengampunan telah mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Sumber: BHEUU JPM, Malaysia Gazette








