Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kelewatan dalam pelaksanaan penyasaran subsidi adalah salah satu faktor yang menyebabkan Malaysia merosot dalam Indeks Daya Saing Dunia (WCR) 2024. Walaupun begitu, secara keseluruhannya, laporan WCR 2024 masih mengekalkan Malaysia sebagai ekonomi yang stabil.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, laporan dari Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) menyoroti kelewatan dan kurang ketegasan dalam pelaksanaan serta penyasaran subsidi sebagai isu utama.
Beliau juga menekankan prestasi ringgit, pengurusan ekonomi, dan penyasaran subsidi sebagai tiga aspek yang perlu diberi perhatian.
Selain itu, Perdana Menteri menyatakan bahawa mekanisme penyelarasan subsidi dapat meningkatkan prestasi ekonomi negara. Contoh dari Indonesia dan Thailand menunjukkan bahawa, tindakan tegas terhadap harga beras, tepung, dan gula telah memberikan hasil yang baik.
Menurut Laporan WCR yang dikeluarkan oleh IMD, Malaysia berada di kedudukan ke-34 daripada 67 negara dalam Ranking Daya Saing Global 2024.
Malaysia mengalami penurunan tujuh anak tangga daripada kedudukan ke-27 pada tahun sebelumnya. Di kalangan negara ASEAN, Malaysia berada di tempat keempat selepas Singapura, Thailand, dan Indonesia.
Singapura pula muncul sebagai ekonomi paling kompetitif di dunia, mendaki empat anak tangga dari tahun sebelumnya untuk mengatasi Switzerland di tempat kedua, diikuti oleh Denmark di tempat ketiga.
Sumber: Buletin TV3