Tular di media sosial semalam, video memaparkan seorang lelaki warga asing membunag air kecil di tempat mengambil wuduk dalam kejadian yang dilaporkan berlaku di Kompleks Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru.
Difahamkan, kejadian itu dirakam oleh pengadu yang kemudian menularkan video itu di media sosial.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menerima laporan mengenai perbuatan lelaki terbabit kira-kira jam 4.36 petang semalam di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin BSI.

Bertindak di atas laporan itu, polis telah menahan lelaki terbabit yang berusia 69 tahun.
“Hasil siasatan mendapati, suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan saringan air kencing didapati negatif,” katanya.
Suspek direman selama tiga hari sehingga Jumaat untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Justeru polis menasihatkan orang ramai tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh menimbulkan suasana yang tidak baik dan mengganggu ketenteraman awam.
Sumber: Harian Metro, Warta Rakyat








