Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Selasa, 23 Julai lalu, seorang kanak-kanak lelaki, Thanwa, 2, dilaporkan lemas di kolam berhampiran kediamannya di utara Thailand.
Video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan keluarga mangsa bergegas keluar untuk mendapatkan mayat mangsa dari kolam tersebut.
Lapor portal 3Plus News, kanak-kanak itu ditinggalkan bersama datuk dan neneknya, sementara ibu bapanya bekerja di bandar lain.
Susulan kematian Thanwa, datuknya membunuh anjing peliharaan yang tidak diketahui siapa pemiliknya, yang dipercayai menjadi punca kematian cucunya itu.
Warga emas berkenaan dikatakan memukul kepala haiwan itu sehingga mati dengan menggunakan sebatang kayu, selepas mengetahui Thanwa telah mengikut anjing itu ke kolam sebelum ditemui tidak bernyawa.
Tidak jelas bagaimana lelaki itu mendapat maklumat tersebut dan tidak diketahui siapa pemilik haiwan itu.
Polis curiga dengan kejadian itu dan mahu menjalankan bedah siasat pada mayat mangsa. Namun, polis menukar fikiran di saat akhir dan proses bedah siasat dibatalkan.
Datuk mangsa menolak untuk ditemubual oleh media, tetapi mengaku kepada polis yang dia telah membunuh anjing tersebut tanpa memberitahu di mana bangkai haiwan itu dibuang.
Sementara itu nenek Thanwa berkata kepada wartawan, cucunya dipercayai lemas akibat terjatuh ke dalam kolam tersebut.
Datuk mangsa turut meluahkan rasa geram apabila ada yang mendakwa mereka tidak menjaga mangsa dengan baik sehingga menyebabkan kanak-kanak itu lemas.
“Ada orang komen kata kami tak menjaga cucu dengan baik. Siapa yang nak cucu mereka mati? Ini adalah kemalangan. Dia keluar bersama anjing itu yang menyebabkan dia lemas,” tegasnya.
Perbuatan datuk mangsa diketahui oleh badan kebajikan haiwan iaitu Watchdog Thailand Foundation (WTF). Walaupun bersimpati dengan apa yang berlaku pada Thanwa, WTF memandang serius tindakan datuk mangsa dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.








