Seorang lelaki dari Kenya telah ditahan di Connecticut kerana cuba membunuh bekas isterinya dengan meminta pemandu Uber yang tidak dikenali membantunya mencari pembunuh upahan yang sanggup melakukan tugas tersebut.
Leonard Thuo Mwithiga, 52, bekas eksekutif tinggi di Kenya Commercial Bank (KCB) kini berdepan dengan hukuman penjara kerana cuba mengupah pembunuh upahan untuk membunuh bekas isterinya.
Cuba pujuk bekas isteri
Menurut laporan, Mwithiga telah mengikuti bekas isterinya yang lari ke Amerika Syarikat pada bulan September tahun lalu kerana tidak tahan dengan sikapnya yang kasar. Mwithiga berharap, dia dapat memujuk wanita itu pulang ke pangkuannya.
Bagaimanapun dia gagal berbuat demikian, lalu mengambil keputusan untuk membunuhnya.
Semasa menaiki Uber, Mwithiga berkata kepada pemandu bahawa dia sangat marah dan mahu mencari pembunuh upahan.
Pemandu Uber lapor polis
Antara 9 September dan 1 Disember, Mwithiga dan pemandu Uber berkenaan telah bertemu dalam beberapa kali dan kerap berhubung melalui aplikasi mesej. Dalam masa sama, pemandu Uber telah menyerahkan bukti-bukti perbualan itu kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Mwithiga kemudian merancang untuk menyuntik bekas isterinya dengan sesuatu bagi menyeksanya secara perlahan dan meninggal dunia dalam keadaan yang menyakitkan.
Dalam masa sama, polis Connecticut yang telah mendapat maklumat awal mengenai niat jahat Mwithiga, telah mengarahkan salah seorang pegawainya menyamar sebagai pembunuh upahan untuk bertemu dengan Mwithiga.
Suspek ditahan
Ketiga-tiga lelaki itu bertemu di satu lokasi pada 4 Disember. Ketika pertemuan itu, Mwithiga menegaskan bahawa dia mahu pembunuh upahan itu bekas isterinya dibunuh sebelum membuat pembayaran pendahuluan dan baki akan dibayar selepas dia memperolehi bukti kematian wanita terbabit.
Mwithiga dilaporkan memberitahu pegawai polis yang menyamar berkenaan untuk membunuh isterinya antara 28 dan 3 Februari, ketika dia berada di Kenya agar kes itu tidak menimbulkan sebarang kecurigaan yang boleh menyebabkan dia ditahan.
Malangnya, Mwithiga ditahan pada hari yang sama, ketika polis sudah mempunyai bukti yang cukup kukuh untuk berbuat demikian.
Menurut rekod mahkamah, Leonard Thuo Mwithiga, ditahan dan dibenarkan diikat jamin sebanyak $5,000,000. Dia dijadualkan kembali ke mahkamah bulan depan untuk sebutan semula kes.
Sumber: NBC Connecticut