Lelaki Korea ditahan selepas 16 tahun sorok mayat teman wanita dalam bagasi disimen di balkoni | The Reporter

Lelaki Korea ditahan selepas 16 tahun sorok mayat teman wanita dalam bagasi disimen di balkoni

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang lelaki berusia 58 tahun ditahan polis kerana disyaki membunuh teman wanitanya pada 2008.

Suspek didakwa telah memukul mangsa yang ketika itu berusia 30 tahun, dengan menggunakan objek tumpul yang menyebabkan kematiannya, semasa bertengkar pada 10 Oktober 2008 di rumah sewa di Geoje, Gyeongsang Selatan, Korea Selatan.

Suspek kemudian menyumbat mayat mangsa dalam beg pakaian dan diletakkan di luar balkoni sebelum ditutup dengan batu bata yang dimampatkan dengan simen bagi mengelakkan mayat mangsa ditemui.

Bagaimanapun, perbuatan jenayahnya itu terbongkar selepas 16 tahun kemudian apabila pemilik bangunan menemui beg pakaian yang mengandungi mayat mangsa ketika sedang menjalankan kerja-kerja membaik-pulih kebocoran air.

Siasatan polis mendapati, mangsa tidak mempunyai hubungan yang rapat dengan keluarganya menyebabkan tiada sebarang laporan orang hilang difailkan.

Tahun 2011, keluarganya mula curiga dan memfailkan kehilangan mangsa. Bertindak di atas laporan itu, polis telah menyoal siasat suspek. Tetapi gagal menemui sebarang bukti berikutan suspek menjelaskan mereka telah berpisah dan mengikut haluan masing-masing.

Susulan penemuan bagasi berisi mayat mangsa, polis telah membuka semula kes tersebut dan mengenal pasti mayat itu adalah mangsa yang dilaporkan hilang pada 2011.

Keputusan bedah siasat mendedahkan, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan di bahagian kepala. Suspek terus ditahan di Yangsan, atas pertuduhan membunuh.

Semasa disoal siasat, suspek mengaku telah membunuh mangsa dan tinggal di rumah sewa itu selama lapan tahun sehingga da mengambil keputusan untuk berpindah pada tahun 2016.

Menurut pemilik bangunan, rumah tersebut tidak disewakan kepada sesiapa selepas suspek berpindah keluar dan rumah itu digunakan sebagai tempat untuk menyimpan barang. – Agensi

Related Posts