FUKUSHIMA, JEPUN – Seorang lelaki berdepan dengan hukuman penjara selama dua tahun kerana merakam 1,000 wanita mandi secara rahsia di beberapa kolam air panas menggunakan kamera yang tersembunyi yang diletakkan dalam seketul batu tiruan.
Lelaki berusia 31 tahun yang tidak didedahkan identitinya itu dari wilayah Fukushima, ditahan pada Mei lalu setelah kamera tersebut ditemui oleh salah seorang wanita yang sedang mandi di sebuah kolam air panas di Yamagata.
Ternampak pantulan
Difahamkan, wanita tersebut ternampak pantulan aneh pada sebuah batu dan menyedari kewujudan kamera pengintip yang disembunyikan di dalamnya, lalu tampil membuat laporan polis.
Bertindak di atas laporan, polis telah menahan suspek yang datang untuk mendapatkan semula kamera tersebut. Polis turut merampas batu tiruan yang digunakan dalam kejadian untuk siasatan lanjut.
Suspek mengaku membeli kamera pengintip itu di platform e-dagang dan membuat satu batu tiruan yang realistik menggunakan tanah liat dan plastik untuk menyembunyikan kamera tersebut. Bahagian kabel kamera pula dibalut menggunakan pita pelekat berwarna coklat dan disambung pada power bank.
Suspek yang berpakaian seperti pendaki gunung kemudian bersembunyi di belakang jaring penyamaran (camouflage) dan meletakkan kameranya untuk merakam mangsa yang mandi di kolam tersebut.
Siasatan lanjut mendapati, kamera tersebut telah mengintip 44 mangsa. Suspek turut mengakui melakukan perkara yang sama di lokasi berbeza sejak tahun 2022 yang melibatkan kira-kira 1,000 mangsa.
Semakan rekod juga menunjukkan suspek mempunyai rekod kesalahan memiliki bahan pornografi kanak-kanak.
Hukuman yang dipinta terlalu singkat
Pendakwa raya telah memohon lelaki itu dikenakan hukuman penjara dua tahun kerana jenayah yang dilakukan itu adalah dirancang dan berulang. Mahkamah kemudian memaklumkan, keputusan hukuman akan diputuskan pada 17 September ini.
Bagaimanapun, netizen di Jepun mengakui terkejut dengan kadar hukuman yang diminta.
“Dua tahun terlalu singkat, sepatutnya dua tahun darab dengan jumlah keseluruhan mangsa. Kehidupan mereka mungkin terjejas sepanjang hayat kalau rakaman itu dimuat naik ke internet,” kata netizen.
“Hukuman terlalu ringan. Tak macam nak hukum, tapi lebih kepada memberi dorong,” tambah netizen lain. – Agensi