Daisuke Hori, seorang usahawan berusia 40 tahun dari Hyogo di barat Jepun, mendakwa dia hanya tidur selama 30 minit setiap hari sejak 12 tahun lalu dalam usaha untuk ‘menggandakan’ hidupnya. Malah Hori mendakwa, gaya tidur ini telah meningkatkan tahap kecekapan kerjanya.
Hori mula mengurangkan waktu tidurnya sejak 12 tahun lalu dengan tujuan memperolehi lebih banyak masa aktif setiap hari. Dia kini hanya tidur selama 30 hingga 45 minit sehari. Bagi menghilangkan rasa mengantuk, Hori melakukan aktiviti sukan atau minum kopi sejam sebelum makan.
Pada tahun 2016, Hori telah menubuhkan Persatuan Latihan Tidur Pendek Jepun, di mana dia mengadakan kelas mengenai tidur dan kesihatan. Hori percaya, orang yang memerlukan fokus berterusan dalam kerja mereka mendapat lebih manfaat daripada tidur berkualiti tinggi berbanding tidur yang lama. Contohnya, doktor dan anggota bomba mempunyai masa rehat yang lebih singkat tetapi mempunyai tahap kecekapan yang tinggi.
Yomiuri TV Jepun turut mengikuti Hori selama tiga hari dalam rancangan realiti bertajuk ‘Will You Go with Me?’. Hori ketika itu hanya tidur selama 26 minit dan bangun dengan tenaga yang cukup. Setelah sarapan, dia sempat mengunjungi gimnasium sebelah terus bekerja.
Hori juga mengajar lebih daripada 2,100 pelajar untuk mengikuti jejak langkahnya. Salah seorang daripada pesertanya memberitahu Yomiuri TV, dia telah mengurangkan waktu tidurnya dari lapan jam kepada hanya 90 minit selepas menjalani latihan dan dia berjaya bertahan sejak empat tahun sambil menjaga kesihatan kulit dan mentalnya.
Bagaimanapun doktor menjelaskan, tidur dalam jangka masa singkat tidak sesuai untuk semua orang dan akan menyebabkan kesan sampingan.
Orang dewasa disarankan untuk tidur tujuh hingga sembilan jam setiap hari kerana tidur adalah masa penting bagi tubuh dan otak untuk pulih dan memperbaiki diri. Kurang tidur boleh menyebabkan penurunan daya ingatan, lemah imuniti, mood terganggu dan risiko penyakit kardiovaskular juga meningkat. – Agensi