Seorang lelaki berbangsa Cina mendakwa dia ditampar beberapa kali oleh seorang warga emas di Family Mart, Angsana Mall, Johor Bahru, kerana makan di siang hari dalam bulan Ramadan. Insiden tersebut berlaku pada Ahad dan dikongsikan oleh Elijah melalui akaun X miliknya, @bingbing656, yang memuat naik rakaman video dan menceritakan kejadian tersebut.
Menurut Elijah, kejadian bermula apabila lelaki berkenaan bertanya sama ada dia berketurunan Cina. Setelah Elijah menjawab pertanyaan itu, warga emas berkenaan mula bertanya tentang agamanya dan marah kerana melihatnya makan ketika waktu puasa.
“Dia tanya saya Islam atau bukan Islam, kemudian marah kenapa saya makan pada bulan Ramadan. Saya bukan Islam dan tidak mengganggu sesiapa, tapi dia tampar saya beberapa kali,” tulis Elijah dalam hantaran tersebut.
- UMNO kekal sokong Kerajaan Perpaduan hingga PRU akan datang
- Bangunan bertingkat didiami Rohingya di Sungai Makau akan diroboh ikut undang-undang
- Catatan doa dan persiapan Haji Lisa Surihani raih perhatian
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
- MPKj sahkan binaan haram di Sungai Makau, keluarkan notis penguatkuasaan
Susulan pendedahan tersebut, ramai netizen mengecam tindakan warga emas berkenaan, menyifatkan tindakannya sebagai tidak wajar dan bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar. Ada yang menggesa Elijah untuk membuat laporan polis supaya individu tersebut dikenakan tindakan undang-undang.
“Islam tak ajar tampar orang sesuka hati. Ini dah melampau, buat laporan polis cepat!” tulis seorang pengguna X.
Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, turut mengutuk keras tindakan tersebut, menyifatkannya sebagai provokasi yang tidak mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian negara. Beliau menegaskan tindakan sedemikian harus dihentikan serta-merta dan tidak dibenarkan berkembang di negara yang menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara.
Beliau turut memaklumkan Elijah telah membuat laporan di Balai Polis Tampoi berhubung insiden itu dan pihak polis akan menyiasat kes ini di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Setakat ini, belum ada maklumat lanjut mengenai tindakan susulan terhadap individu terbabit.








