Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang lelaki berusia 65 tahun di Maharashtra, India, bangkit semula daripada kematian setelah ambulans yang membawa “mayatnya” melanggar bonggol jalan. Kejadian ini berlaku pada 16 Disember lalu di Kolhapur, Maharashtra barat.
Pada hari kejadian, Pandurang Ulpe, seorang penduduk Kasaba-Bawada, mengalami serangan jantung dan dikejarkan ke sebuah hospital swasta. Doktor di hospital itu mengisytiharkan beliau meninggal dunia.
Mayatnya kemudian dibawa pulang ke rumah menaiki ambulans untuk upacara pengebumian yang telah dirancang oleh keluarga dan jiran. Namun, dalam perjalanan, sesuatu yang luar biasa berlaku.
“Ketika kami membawa ‘mayatnya’ pulang, ambulans melanggar bonggol jalan, dan kami ternampak jari-jarinya bergerak,” kata isteri Ulpe.
Keluarganya segera membawanya ke hospital lain. Beliau dirawat selama dua minggu di sana dan menjalani angioplasti. Setelah sembuh, Ulpe akhirnya pulang ke rumah pada Isnin lalu, dengan sihat dan mampu berjalan sendiri.

Ulpe, mengimbas kembali peristiwa itu berkata, “Saya baru pulang dari berjalan kaki, minum teh, dan berehat. Tiba-tiba saya berasa pening dan sesak nafas. Saya muntah di bilik mandi dan tidak ingat apa-apa selepas itu, termasuk siapa yang membawa saya ke hospital.”
Sehingga kini, pihak hospital yang mengisytiharkan kematian Ulpe masih belum memberikan sebarang komen mengenai kejadian tersebut. – Agensi








