Satu kajian yang dilakukan oleh penyelidik di University McMaster menemui bahawa, rambut muka (jambang atau janggut) lelaki memainkan peranan penting dalam bagaimana mereka dipandang oleh orang lain.
Lelaki yang mencukur bersih wajahnya dianggap lebih dipercayai berbanding lelaki berjambang. Hanya 13 peratus peserta dalam kajian menganggap lelaki berjambang boleh dipercayai.
Kajian itu juga menunjukkan wanita cenderung menyukai lelaki yang mempunyai rambut muka sederhana kerana ia menandakan kematangan fizikal. Namun, lelaki berjambang penuh mungkin tidak begitu disenangi kerana ia diangap sebagai petunjuk suka menguasai perhubungan.
Menurut para penyelidik, pertumbuhan rambut muka bergantung pada hormon testosteron. Testosteron juga berkait rapat dengan sifat ‘menceroboh’. Oleh itu, rambut muka sering dianggap sebagai petunjuk tentang tingkah laku yang agresif.
Penampilan yang terlalu agresif dikaitkan secara negatif dengan kebolehpercayaan. Jika seseorang kelihatan terlalu garang atau tegas, orang lain mungkin kurang mempercayainya.
Untuk menguji ini, mereka meminta peserta bermain satu siri permainan ekonomi dengan menggunakan wang sebenar. Beberapa wajah lawan telah diubah secara digital untuk kelihatan sama ada lebih atau kurang lebar. Ini adalah penunjuk yang diketahui berkaitan dengan sifat agresif dan kebolehpercayaan.
Keputusan menunjukkan, peserta lebih cenderung mempercayai lelaki dengan wajah yang kurang lebar. Memandangkan jambang boleh memberikan ilusi garis rahang yang lebih luas, ini menunjukkan lelaki berjambang dianggap kurang boleh dipercayai.
Kajian ini merupakan yang pertama untuk secara langsung menilai pengaruh rambut muka terhadap penilaian kebolehpercayaan. Hasil kajian menunjukkan bahawa dengan hanya menumbuhkan janggut, lelaki mungkin mengurangkan tahap kebolehpercayaan mereka kepada orang lain.
Walaupun saiz sampel agak kecil, hanya melibatkan 21 pelajar universiti, para penyelidik percaya hasil kajian ini mempunyai implikasi penting.
Mereka mencadangkan, lelaki yang ingin kelihatan lebih boleh dipercayai, terutama dalam peranan profesional atau kepimpinan, sebaik-baiknya menjaga penampilan yang dicukur bersih. – Agensi