Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Stockholm, Sweden – Salwan Momika, lelaki kelahiran Iraq yang mencetuskan kemarahan ramai selepas membakar al-Quran di Sweden pada 2023, ditembak mati di Stockholm, kata pihak berkuasa Sweden.
Jurucakap pendakwa Sweden mengesahkan bahawa Momika ditembak pada Rabu. Susulan kejadian itu, polis Stockholm menahan lima individu pada malam yang sama atas tuduhan membunuh.
Momika sebelum ini sedang menunggu keputusan mahkamah atas dakwaan menghasut kebencian perkauman. Hukuman yang sepatutnya diumumkan pada Khamis kini ditangguhkan, menurut peguam Mahkamah Daerah Stockholm, Goran Lundahl.
Momika berpindah ke Sweden dari Iraq pada 2018. Dia pernah berkata bahawa dia membakar al-Quran kerana percaya kitab itu harus diharamkan kerana dianggap mengancam demokrasi dan hak asasi manusia.
Pada awalnya, pihak berkuasa Sweden cuba menghalang Momika daripada mengadakan protes dengan menolak permohonannya untuk mendapatkan permit polis. Namun, Mahkamah Rayuan Stockholm membatalkan keputusan itu atas dasar kebebasan bersuara.
Sebuah akaun di platform X yang dikaitkan dengannya sering memuat naik perkembangan perbicaraannya kepada lebih 230,000 pengikut, termasuk kandungan berunsur anti-Islam. Awal bulan ini, akaun itu turut meminta sumbangan untuk membayar peguam bagi membantunya mendapatkan suaka di Amerika Syarikat.
Pihak pendakwa kini mengambil alih siasatan kes pembunuhan ini. Pihak keselamatan Sweden juga terlibat kerana ada kemungkinan kejadian ini berkaitan dengan pihak luar, kata Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson, dalam sidang media yang dipetik oleh penyiar awam SVT. – Agensi








