Ratusan pengamal perubatan swasta hari ini berkumpul secara aman di perkarangan Pejabat Perdana Menteri (PMO) bagi menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap pelaksanaan Perintah Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan (Penandaan Harga Ubat) 2025.
Lebih 700 doktor dilihat berpakaian serba hitam sebagai simbol solidariti, menyertai bantahan tersebut yang asalnya dirancang untuk berarak dari Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan. Bagaimanapun, mereka dinasihatkan polis untuk terus berkumpul di PMO bagi menjaga ketenteraman awam.
“Kami datang dengan bas dari Perak. Ramai juga yang hadir secara persendirian. Ada yang tetap buka klinik hari ini sebab pesakit tak boleh tunggu,” kata Dr R Jeyaratnam, seorang bekas doktor tentera yang turut hadir dalam perhimpunan itu.
Kerajaan memperkenalkan dasar pemaparan harga ubat sebagai satu inisiatif ke arah ketelusan, membolehkan pengguna membandingkan harga dan membuat pilihan berdasarkan kemampuan mereka. Langkah ini juga dilihat mampu mengelakkan jurang harga yang besar antara satu klinik dan yang lain.
Namun di sebalik tujuan murni kerajaan, para doktor swasta berpendapat perintah tersebut membawa implikasi besar kepada operasi dan kelangsungan klinik, terutama yang beroperasi secara individu atau di kawasan bandar tinggi kos.
Kenapa doktor swasta membantah?
Bagi mereka yang masih tertanya-tanya mengapa doktor swasta menolak arahan ini, berikut antara sebab utama:
• Kos operasi tak sama rata: Klinik di kawasan bandar besar seperti Kuala Lumpur lazimnya mendapatkan ubat dengan harga lebih tinggi berbanding klinik luar bandar. Maka, penetapan harga tetap akan menyukarkan penyesuaian mengikut lokasi.
• Perbandingan tak adil dengan farmasi: Klinik bukan sekadar menjual ubat, tetapi turut menyediakan konsultasi, pemeriksaan dan rawatan. Jika harga ubat dipamerkan secara berasingan, pesakit mungkin salah anggap harga itu terlalu mahal berbanding farmasi.
• Kehilangan fleksibiliti dalam rawatan: Bagi kes tertentu, doktor mungkin perlu beri ubat tambahan atau alternatif berdasarkan tindak balas pesakit. Harga tetap boleh mengikat tangan mereka daripada membuat keputusan klinikal terbaik.
• Persepsi kualiti ubat: Walaupun nama ubat sama, ada perbezaan besar dari segi jenama, sumber dan keberkesanan. Pesakit mungkin hanya menilai berdasarkan harga terendah, bukan kualiti.
Perhimpunan ini berakhir secara aman dan difahamkan wakil penganjur turut menyerahkan memorandum kepada pihak kerajaan. Kementerian Kesihatan setakat ini masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung bantahan tersebut








