'Laut bukan tong sampah, pantai bukan tempat buang sisa' - Dr Samsuri | The Reporter

‘Laut bukan tong sampah, pantai bukan tempat buang sisa’ – Dr Samsuri

Keadaan di sekitar jeti Awana Kijang yang dipenuhi sampah.
Gambar: Facebook Geng Plastik Ija

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengingatkan orang ramai agar menjaga kebersihan sepanjang musim mencandat sotong yang kini kembali meriah dengan kehadiran pengunjung di perairan negeri itu.

Menurut beliau, meskipun aktiviti tersebut menjadi tarikan utama serta peluang mencari rezeki sambil berhibur, aspek kebersihan tidak boleh diabaikan oleh mana-mana pihak.

“Memang seronok apabila ramai turun ke laut, berkumpul bersama rakan-rakan sambil mencari rezeki. Tetapi dalam keseronokan itu, jangan lupa tanggungjawab kita,” ujarnya.

Beliau berkata, pantai di Terengganu merupakan anugerah alam yang sangat bernilai kerana bukan sahaja indah dipandang, malah menjadi sumber rezeki serta tempat masyarakat melepaskan penat.

Tambahnya, Terengganu yang dikenali sebagai antara negeri paling bahagia akan rugi sekiranya keindahan tersebut tercemar akibat sikap tidak ambil peduli terhadap kebersihan.

“Pantai ini tidak akan kekal indah jika kita sendiri tidak menjaganya,” katanya.

Baca juga:

Dalam pada itu, beliau menegaskan amalan mudah seperti tidak meninggalkan sampah perlu dijadikan budaya dalam kalangan masyarakat.

“Sampah seperti plastik, botol dan bekas makanan perlu dibawa pulang. Laut bukan tong sampah, pantai juga bukan tempat membuang sisa,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata usaha menjaga kebersihan alam sekitar bukan sahaja memberi manfaat kepada generasi kini, malah memastikan keindahan tersebut dapat dinikmati oleh generasi akan datang.

“Jika kita jaga, semua orang boleh terus menikmati keindahan ini. Tetapi jika kita tidak ambil peduli, lama-kelamaan ia akan rosak,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh masyarakat untuk bersama-sama memainkan peranan dalam memelihara kebersihan pantai.

“Ini mungkin perkara kecil, tetapi besar maknanya. Terima kasih kepada semua yang sentiasa prihatin dan sayangkan negeri kita,” katanya.

Sementara itu, menerusi hantaran dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris memaklumkan jeti Awana Kijal yang di jadikan lokasi memancing sudah kembali bersih.

Related Posts