Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Jika sebelum ini Langkawi menjadi pusat tarikan pelancong dalam dan luar negara dengan keindahan lokasi serta kepelbagaian makanan yang menarik, pulau peranginan itu sering penuh sesak setiap kali cuti sekolah atau cuti umum.
Namun, pada cuti panjang baru-baru ini, suasana di Langkawi dilaporkan tidak semeriah dahulu.
Memetik laporan Majoriti, keadaan itu terbukti apabila kadar penginapan hotel di pulau berkenaan merosot di bawah 60 peratus.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) cawangan Kedah dan Perlis, Eugene Dass, berkata situasi itu berulang seperti tahun lalu, menandakan minat terhadap pulau peranginan tersebut masih belum pulih.
“Pelancong domestik dilihat terus memilih destinasi lain seperti Hatyai, mungkin kerana ketiadaan tarikan baharu di Langkawi. Selain itu, masalah logistik seperti jadual feri tidak menentu, tambang penerbangan tinggi dan sambungan penerbangan terhad masih membelenggu,” katanya.
Seorang pengunjung dari Pulau Pinang, Ng Su-Ann, mengakui terkejut melihat suasana sunyi di hotel penginapannya.
“Saya sangka Langkawi akan penuh sempena cuti, tapi ternyata agak lengang. Tiada tarikan baharu, hanya kedai bebas cukai masih ada pengunjung,” ujarnya.
Baca juga:
- KKM semak video tular kad pemantauan pesakit denggi di KK Sri Rampai
- Sultan Selangor seru wakil rakyat hayati makna Rukun Negara di Dataran Selangor
- Kisah Atok Grab tular raih perhatian, terima bantuan kerajaan
Pelancong lebih memilih Terengganu dan Hatyai
Bagi Mohd Azmi Ismail pula, kos percutian yang semakin meningkat menjadi punca ramai rakyat Malaysia memilih destinasi lebih mampu milik seperti Terengganu atau Hatyai.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Kedah, Mohd Firdaus Abu Bakar, berkata resort mewah turut berdepan cabaran apabila pelancong kini lebih sensitif terhadap harga.
“Jadual feri yang tidak konsisten, penerbangan terus yang terhad dan kos operasi tinggi menjejaskan industri. Pelancong memilih tempat lain yang lebih murah,” katanya.
Beliau menegaskan pihak berkuasa pelancongan negeri perlu lebih proaktif, bukan sahaja dalam menghidupkan kembali Langkawi, tetapi juga memperkukuh sektor pelancongan di tanah besar Kedah.








