Langgar lari polis trafik: Inspektor ditahan, sedang jalani rawatan kesihatan | The Reporter

Langgar lari polis trafik: Inspektor ditahan, sedang jalani rawatan kesihatan

Kenderaan rosak selepas insiden langgar lari melibatkan anggota trafik di Kuala Lumpur
Gambar janaan AI berdasarkan tangkap layar video kejadian.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Polis menahan seorang pegawai kanan berpangkat Inspektor yang dipercayai terbabit dalam kes langgar lari sehingga mencederakan anggota trafik di Jalan Sultan Yahya Petra, Jumaat lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, suspek berusia 40 tahun itu disahkan menghidap skizofrenia, sedang menjalani cuti perubatan khas serta dalam proses dibersarakan atas syor Lembaga Perubatan.

Menurutnya, suspek berjaya diberkas selepas dikejar dari Jalan Cheras hingga ke Jalan Empat, Chan Sow Lin sekitar jam 3.45 petang hasil risikan dan semakan rakaman CCTV. Bagaimanapun, cubaan awal menahan suspek gagal apabila lelaki itu memecut kenderaan secara berbahaya.

“Sepanjang cubaan melarikan diri, suspek melanggar beberapa kenderaan awam termasuk sebuah Mercedes Benz dan Proton Saga serta merosakkan sebuah kenderaan Unit Kereta Peronda (MPV) polis,” katanya.

Baca juga:

Tambah beliau, pemeriksaan mendapati tiada barang salah ditemui dan ujian pernafasan alkohol adalah negatif, manakala ujian saringan air kencing akan dijalankan bagi melengkapkan siasatan.

Setakat ini, tujuh pemilik kenderaan telah membuat laporan polis, melibatkan lima kereta awam, sebuah MPV polis dan sebuah motosikal milik anggota. Polis turut menggesa mana-mana individu yang terlibat tampil membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana memandu secara melulu serta menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.47 malam Jumaat lalu, mangsa, Konstabel Roslan Salleh, 27, cedera di tangan kanan, belakang kepala dan rusuk selepas dilanggar dari belakang oleh sebuah Perodua Axia ketika mengawal lalu lintas. Mangsa kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Related Posts