Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kerajaan Selangor menyasarkan penutupan ladang ternakan babi di Kuala Langat dan kawasan sekitarnya secepat mungkin dalam tahun ini, selaras dengan titah Sultan Selangor serta kebimbangan berpanjangan penduduk setempat.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, berkata kerajaan negeri kini sedang mempercepatkan kajian berkaitan keperluan sebenar bekalan babi di Selangor sebelum keputusan muktamad dilaksanakan.
Menurutnya, kajian tersebut penting bagi memastikan proses penutupan tidak mencetuskan gangguan besar kepada bekalan dan lonjakan harga di pasaran, khususnya melibatkan sumber alternatif dari luar negeri atau import.
“Tuanku telah menitahkan supaya kajian dibuat. Penutupan kita akan cuba laksanakan tahun ini secepat mungkin, tetapi kita juga perlu memahami kesannya. Jika bergantung kepada import, harga boleh meningkat dan itu sesuatu yang kita mahu elakkan,” katanya.
Baca juga:
- MyKiosk bukan ‘projek gagal’, KPKT tampil jelaskan pencapaian sebenar
- KUSKOP bantu 5 syarikat Malaysia raih urus niaga RM2 bilion di Arab Saudi
- Menteri tegur layanan kurang mesra rakyat kepada pelancong
Amirudin turut menjelaskan ketika ini kira-kira 70 peratus bekalan babi Selangor diperoleh dari negeri dan negara lain, justeru sebarang keputusan perlu mengambil kira keseimbangan antara keperluan pasaran dan kepentingan awam.
Sebelum ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menzahirkan keperluan penyelesaian menyeluruh berhubung isu ladang babi yang berlarutan, termasuk kesan alam sekitar dan kesejahteraan penduduk.
Isnin lalu, Amirudin turut mengumumkan kerajaan negeri menangguhkan dan membatalkan sementara cadangan pembangunan ladang babi di Bukit Tagar, Hulu Selangor, susulan bantahan penduduk serta keperluan penelitian lebih mendalam.
Sumber: Buletin TV3








