Selepas akhbar Sin Chew Daily dikritik kerana menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit, kini media Kwong Wah Yit Poh pula didakwa melakukan kesalahan yang sama apabila memuat naik imej bendera Malaysia tidak lengkap di Facebook mereka pada 16 April 2025.
Tindakan itu mencetus kemarahan ramai dan menarik perhatian pihak berkuasa termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengeluarkan kenyataan tegas semalam. Menurut KDN, penggunaan bendera negara dalam bentuk yang tidak lengkap dianggap sebagai satu kesalahan serius dan akan disiasat mengikut Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414], dan jika melibatkan percetakan, di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan [Akta 301].
Menurut kenyataan tersebut, KDN memberi amaran keras agar tidak ada pihak yang cuba mempermainkan atau memanipulasi Jalur Gemilang secara sengaja atau sebaliknya. Mereka menegaskan bahawa bendera kebangsaan adalah simbol kedaulatan negara yang mesti dihormati dan dijaga oleh semua pihak.
- Tembakan ke arah lembu korban tular: Tindakan elak risiko, kata MB Perlis
- FINAS sahkan penamatan tayangan filem Konspirasi atas permintaan penerbit
- Filem Konspirasi didakwa henti tayangan, Sarimah Ibrahim luah rasa kecewa
- Video tular: Polis siasat dakwaan MB Perlis tembak lembu
- ‘Perangai pengotor bila mahu dikorbankan?’ – Dr Rozaimi Ramle
Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut mengesahkan telah memanggil pihak media Kwong Wah Yit Poh untuk siasatan lanjut. SKMM menyatakan bahawa kes ini disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana melibatkan kandungan yang dimuat naik secara dalam talian.
SKMM turut memaklumkan akan bekerjasama rapat dengan KDN serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan isu ini disiasat secara menyeluruh dan tindakan sewajarnya diambil jika terdapat unsur pelanggaran undang-undang.








